Sabtu, 6 Februari 2021 | 8:24pm
GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

COVID-19: Jurujual kedai emas cetus Kluster Jalan Chester di Tawau

KOTA KINABALU: Seorang jurujual kedai emas di bandar Tawau dikenal pasti sebagai kes indeks Kluster Jalan Chester yang dilaporkan di Sabah, hari ini.

Individu terbabit menunjukkan gejala jangkitan sebelum disahkan positif COVID-19 selepas menjalani ujian saringan pada 2 Februari lalu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata sehingga hari ini sebanyak 10 kes dikesan menerusi kluster itu.

"Pada hari ini, satu kluster baharu dilaporkan iaitu Kluster Jalan Chester di Tawau yang mencatatkan pertambahan tujuh kes positif COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 10 kes.

"Kes indeks adalah seorang jurujual di kedai emas di pusat bandar disahkan positif hasil saringan bergejala pada 2 Februari lalu.

"Hasil saringan kontak rapat, sembilan lagi kes positif COVID-19 dikesan bagi kluster ini. Aktiviti pengesanan masih giat dijalankan," katanya dalam kenyataan media mengenai perkembangan COVID-19 Sabah, di sini, malam ini.

Secara keseluruhan, Sabah mencatatkan 233 kes baharu COVID-19 hari ini, meningkat 37 kes berbanding 196 kes yang dilaporkan semalam.

Ia menjadikan kumulatif kes COVID-19 di Sabah setakat ini mencecah 50,124 kes.

Masidi yang juga jurucakap COVID-19 Sabah, berkata selain satu kluster baharu, Sabah turut merekodkan tiga kematian pada hari ini, masing-masing satu kematian di Tuaran, Tawau dan Kalabakan.

Bagi kes sembuh, beliau berkata seramai 288 pesakit COVID-19 dibenarkan keluar hospital hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sembuh 47,578 orang.

"Baki pesakit masih dirawat seramai 1,745 orang, iaitu 711 orang di hospital, 1,027 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) awam, manakala tujuh orang lagi di Pusat Tahanan Sementara (PTS).

Bilangan pesakit COVID-19 dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 81 orang dengan 25 orang memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya.

Masidi berkata, bagi kes mengikut daerah, Tawau merekodkan kes tertinggi hari ini dengan 41 kes, diikuti Kinabatangan (36), Keningau (27), Kota Kinabalu (23) dan Papar (12).

Sebanyak 18 daerah masih dalam Zon Merah, manakala empat daerah dalam Zon Jingga dan lima daerah dalam Zon Kuning.

Berita Harian X