Rabu, 3 Februari 2021 | 7:20pm
Anggota polis dibantu tentera melakukan pemeriksaan kenderaan yang melalui sekatan jalan raya bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP ditetapkan.-Foto/NSTP
Anggota polis dibantu tentera melakukan pemeriksaan kenderaan yang melalui sekatan jalan raya bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP ditetapkan.-Foto/NSTP

611 ditahan ingkar SOP

KUALA LUMPUR: Seramai 611 individu ditahan kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB) menerusi operasi pematuhan di seluruh negara, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada keseluruhan tangkapan, seramai 601 individu dikompaun, manakala 10 lagi direman.

"Antara kesalahan direkodkan, tidak memakai pelitup muka (145), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (109), tiada penjarakan fizikal (107) dan gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (87).

"Kesalahan lain ialah premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (50), keluar rumah tanpa alasan munasabah (31) dan lain-lain kesalahan (82)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat 67,500 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP, semalam.

"Sebanyak 5,661 restoran; pasar raya (3,901); bank (3,689); penjaja (2,207); kilang (1,478) dan pejabat kerajaan (777) di seluruh negara dipantau.

"Turut dipantau ialah 1,098 terminal pengangkutan darat, 237 terminal pengangkutan air dan 78 terminal pengangkutan udara," katanya.

Mengenai Operasi Benteng (Op Benteng), Ismail Sabri berkata, pihak berkuasa menahan dua pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas tiga kenderaan darat, semalam.

"Menerusi operasi itu juga, pihak berkuasa mengesan 92 bot dan kapal asing di perairan negara melalui tiga aktiviti penglihatan.

"Selain itu, 536 sekatan jalan raya turut dilaksanakan di seluruh negara," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) membuat 49 pemeriksaan tapak binaan di seluruh negara, semalam, dan mendapati 47 tapak binaan mematuhi SOP ditetapkan, manakala satu lagi dikenakan tindakan.

"Secara keseluruhannya, CIDB sudah melakukan 14,946 pemeriksaan membabitkan 8,474 tapak binaan di seluruh negara sejak 20 April tahun lalu," katanya.

Berita Harian X