Rabu, 3 Februari 2021 | 6:51pm
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Fail arkib NSTP
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Fail arkib NSTP

Dakwaan Agong mahu Dr Wan Azizah jadi Perdana Menteri Interim karut - Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan dakwaan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas bahawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan supaya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi Perdana Menteri Interim selepas beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada Februari tahun lalu adalah cerita karut.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, Thomas tidak tahu apa-apa langsung mengenai peletakan jawatannya.

"Menurut Tommy (Thomas), saya beritahu kepadanya bahawa Yang di-Pertuan Agong mahukan Wan Azizah sebagai Perdana Menteri Interim.

"Ini cerita karut. Selepas menerima dengan berat hati peletakan jawatan saya, Yang di-Pertuan Agong cadangkan saya sebagai Perdana Menteri Interim.

"Nama Wan Azizah (ketika itu Timbalan Perdana Menteri) tidak pernah disebut oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri Sementara," kata Dr Mahathir melalui Twitter, hari ini.

Dr Mahathir merujuk kepada dakwaan Thomas dalam bukunya, My Story: Justice In The Wilderness, bahawa Yang di-Pertuan Agong berkenan untuk melantik Dr Wan Azizah sebagai Perdana Menteri Interim susulan peletakan jawatannya, seperti yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan

Thomas mendakwa, Dr Mahathir bagaimanapun mencalonkan diri bagi jawatan itu.

Dr Mahathir berkata, punca beliau meletak jawatan disebabkan partinya sendiri ketika itu iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menolak nasihat beliau supaya tidak keluar daripada Pakatan Harapan (PH).

Susulan itu, Dr Mahathir menyifatkan beliau sudah hilang kepercayaan terhadap BERSATU dan perlu meletak jawatan sebagai pengerusi parti itu, sekali gus tidak mewakili parti dan menyebabkan beliau turut perlu meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

"Selepas diberitahu kepada pemimpin PH, saya menjangka akan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada sebelah tengah hari. Saya percaya baginda sudah terima surat peletakan jawatan saya semasa pertemuan itu.

"Pada awalnya, baginda menolak peletakan jawatan saya. Saya kekal dengan pendirian saya dan kemudian baginda terima keputusan itu tetapi minta saya jadi Perdana Menteri Sementara.

"Yang di-Pertuan Agong tidak cadangkan nama lain, pastinya bukan Wan Azizah. Saya tidak tawar diri tetapi tidak kena jika saya menolak cadangan baginda," katanya.

Dr Mahathir berkata, tiada peruntukan dalam Perlembagan berhubung Perdana Menteri Interim namun beliau menerima jawatan itu kerana proses pemilihan Perdana Menteri baharu melalui sokongan yang dinyatakan 222 Ahli Parlimen mengambil masa yang lama, justeru negara memerlukan seorang Ketua Kerajaan sementara.

"Ya, peletakan jawatan ini pendirian peribadi. Saya tidak hantar surat peletakan Kabinet tetapi apabila kerajaan PH tumbang, tidak ada alasan untuk Kabinet kekal. Ia terbubar bersama kerajaan.

"Saya hairan bagaimana seorang peguam tidak faham yang ini bukanlah pertukaran Perdana Menteri. Kerajaan PH sudah tumbang, Yang di-Pertuan Agong tidak boleh lantik Wan Azizah sebagai Pemangku Perdana Menteri," katanya.

Mengenai hubungannya dengan Thommas, Dr Mahathir menyifatkan hubungan mereka baik ketika Thomas menjadi Peguam Negara.

"Beliau akan berjumpa saya untuk isu utama. Saya juga percaya dan pertahankannya ketika dikecam orang Melayu.

"Secara umum saya berpuas hati dengan kerja Tommy. Beliau jelaskan kepada saya bahawa tidak ada kes untuk dakwa yang dikatakan penyokong LTTE (Harimau Pembebasan Tamil Eelam).

"Saya terima penjelasan itu dan menulis kepada (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin), Menteri Dalam Negeri (ketika itu). Tommy buang kes itu. Kemarahan orang Melayu kepada saya memuncak," katanya.

Berita Harian X