Selasa, 2 Februari 2021 | 12:33pm
Isu dalaman MARA perlu diselesaikan segera untuk memastikan agenda memaju Bumiputera dapat dilaksanakan dengan jaya - Hasan. FOTO NSTP
Isu dalaman MARA perlu diselesaikan segera untuk memastikan agenda memaju Bumiputera dapat dilaksanakan dengan jaya - Hasan. FOTO NSTP

MARA perlu selesaikan kemelut dalaman - MPM

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) perlu menyelesaikan segera isu dalaman yang membelenggu agensi itu bagi mengelakkan ia memberi kesan terhadap agenda memaju dan memakmurkan Bumiputera.

Gesaan itu disuarakan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM) Datuk Dr Hasan Mad yang mendakwa Bumiputera masih menaruh harapan tinggi terhadap agensi itu bagi membantu meningkatkan ekonomi mereka.

Katanya, gesaan itu berdasarkan resolusi dicapai dalam Kongres Ekonomi Bumiputera anjuran MPM pada Oktober tahun lalu.

"Seperti yang kita ketahui, MARA masih bergelut dengan isu dalaman antaranya berkaitan dengan sayap korporatnya, MARA Corp namun jawatankuasa dan MPM tidak berhasrat untuk campur tangan.

"Sebaliknya MPM memberi peringatan supaya kemelut dalaman itu tidak menjejaskan prestasi MARA kerana masyarakat Bumiputera mahu melihat ia sebagai agensi ulung membangunkan agenda mereka," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hasan yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bersama Kerajaan Mengenai Agenda Bumiputera, Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkata, mesyuarat jawatankuasa itu akhir tahun lalu turut memberi peluang kepada MARA membentangkan pelan agenda memajukan Bumiputera.

"Dalam mesyuarat pertama jawatankuasa ini pada 24 Disember lalu, MARA diberi penghormatan untuk membentangkan pelan dan tindakan berkaitan agenda ini. Banyak maklum balas yang diberikan untuk memperkasakan peranan agensi ini," katanya.

Beliau berkata, kewujudan jawatankuasa dan Majlis Kemakmuran Bumiputera akan memberi impak dalam usaha membangunkan agenda Bumiputera.

"Penubuhan majlis itu yang diletakkan di bawah JPM memperlihatkan Perdana Menteri memberi keutamaan dalam perancangan dan pelaksanaan usaha ini," katanya.

Berita Harian X