Khamis, 28 Januari 2021 | 7:35pm

COVID-19: Dua pemuda tiada latar belakang penyakit meninggal

KUALA LUMPUR: Dua pemuda yang tidak mempunyai latar belakang penyakit dilaporkan meninggal dunia di Selangor dan ibu negara, hari ini.

Seorang daripada mereka, lelaki berusia 22 tahun meninggal di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Cheras manakala seorang lagi bukan warganegara berusia 32 tahun meninggal dan jenazahnya dibawa ke Hospital Kajang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham, berkata Selangor dan Sabah masing-masing mencatat tiga kes kematian hari ini manakala Kuala Lumpur (dua), Kedah (satu) dan Sarawak, satu kes.

Katanya, sembilan kes adalah membabitkan warganegara manakala satu kes bukan warganegara.

"Di Selangor, mangsa yang meninggal adalah lelaki berusia 69 tahun, wanita 89 tahun dan lelaki 32 tahun.

"Di Sabah pula, tiga mangsa lelaki berusia 67, 63 dan 62 tahun. Di ibu negara pula, lelaki berusia 67 dan 22 tahun.

"Di Kedah dan Sarawak pula masing-masing membabitkan wanita 78 dan lelaki 79 tahun," katanya.

Mengikut maklumat yang dinyatakan, kebanyakan mangsa yang meninggal dunia mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi, jantung dan buah pinggang kronik.

"KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka," katanya.

Berita Harian X