Rabu, 27 Januari 2021 | 11:09pm
 Foto hiasan
Foto hiasan

Rogol anak tiri 105 kali, bapa dipenjara 1,050 tahun, 24 sebatan

KLANG: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 1,050 tahun dan sebatan maksimum 24 kali ke atas seorang lelaki.

Hakim Datin M Kunasundary menjatuhkan hukuman ke atas lelaki berusia 33 tahun itu selepas dia mengaku bersalah merogol anak perempuan tirinya sebanyak 105 kali dalam tempoh dua tahun.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan dan kesemua hukuman penjara itu berjalan secara berasingan bermula dari tarikh dia ditangkap, 20 Januari lalu.

Kunasundary dalam penghakimannya berkata kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah sangat serius dan mengambil kira jumlah pertuduhan yang dikenakan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan.

Kesemua 105 pertuduhan ke atas tertuduh dibacakan satu persatu oleh jurubahasa mahkamah pada prosiding hari ini yang berlangsung hampir lima jam bermula dari 2.45 petang hingga 7.30 malam.

Hakim itu berkata kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah keji dan amat berat serta memalapkan hidup seorang kanak-kanak.

"Saya harap kamu insaf dalam penjara. Kamu tidak sepatutnya melakukan sesuatu yang ganas walaupun hukuman yang diberikan adalah hukuman minimum, namun mahkamah merasakan memadai dengan mengambil kira jumlah pertuduhan yang dikenakan terhadap kamu," katanya.

Mengikut 105 pertuduhan, lelaki yang tidak bekerja itu didakwa merogol anak tirinya di sebuah rumah di Sungai Way, Petaling Jaya, Selangor sejak 5 Januari 2018 hingga 24 Februari 2020 mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamarul Abrar memohon hukuman pemenjaraan berat dan sebatan maksimum dikenakan terhadap tertuduh dengan mempertimbangkan faktor kepentingan awam.

"Mangsa di dalam kes ini berumur 12 tahun semasa mula-mula dirogol oleh tertuduh dan dirogol selama dua tahun sebanyak 105 kali.

"Tertuduh yang merupakan bapa tiri kepada mangsa sepatutnya bertanggungjawab untuk membela mangsa namun merosakkan harga dirinya. Akibat daripada perbuatan tertuduh akan menyebabkan trauma seumur hidup kepada mangsa sepanjang hayatnya," katanya yang mengendalikan kes bersama Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Afiq Zuber.

Nurul Qistini berkata kes merogol anak dalam jagaan adalah kesalahan yang amat keji dan terkutuk serta dipandang serius oleh segenap masyarakat tidak kira agama apa sekalipun.

Perbuatan tertuduh diibaratkan sebagai "haruan makan anak" yang menjadi perhatian serius masyarakat umum yang bertentangan bukan sahaja dari segi undang-undang malahan ditegah oleh agama, katanya yang turut memohon hukuman berjalan secara berasingan bagi setiap pertuduhan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak mengemukakan sebarang rayuan bagi mengurangkan hukuman.

Berdasarkan fakta kes, ibu mangsa telah bercerai dengan bapa kandungnya pada 2015 dan wanita itu berkahwin dengan tertuduh pada November 2016.

Ketika kejadian, hanya mangsa dan tertuduh berada di dalam rumah dan mangsa tidak pernah menceritakan kejadian itu kepada sesiapa kerana telah diugut dan dipukul oleh tertuduh.

Kanak-kanak itu hanya menceritakan kejadian berkenaan apabila ibunya membawa dia dan adik perempuan ke rumah ibu saudara mereka. - BERNAMA

Berita Harian X