Selasa, 26 Januari 2021 | 11:26pm
SEREMBAN, 3 Jan -- Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman menjawab soalan hadirin ketika hadir pada Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan 2020, hari ini.--fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
SEREMBAN, 3 Jan -- Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman menjawab soalan hadirin ketika hadir pada Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan 2020, hari ini.--fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Kerajaan perkemas sistem kehadiran penjawat awam - Mohd Khairul Adib

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperkemaskan sistem pemeriksaan kehadiran penjawat awam di pejabat kerajaan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan berterusan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, berkata masih terdapat lompang yang perlu diperbaiki dalam sistem itu dan yakin ia berjaya diatasi segera.

"Kalau masa PKP fasa pertama yang dilaksanakan kerajaan pada Mac 2020, masa itu musim cuti sekolah, ramai ibu bapa berada di kampung dan kita perlu uruskan supaya mereka dapat kembali semula ke stesen kerja masing-masing.

"Tetapi dalam keadaan sekarang ini, PKP terbaharu yang diumumkan pada 11 Januari lalu bukan pada musim cuti sekolah. Bagaimanapun, ada juga yang mengambil kesempatan untuk lari ke kampung, jadi kita minta semua ketua jabatan untuk buat pemeriksaan rambang," katanya dalam program Bicara Naratif: Norma Baharu Perkhidmatan terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam ini.

Mohd Khairul Adib berkata bagi memastikan penjawat awam berada di kediaman masing-masing dan boleh segera hadir bertugas apabila diminta ketua jabatan, beberapa kaedah seperti menunjukkan lokasi keberadaan mereka dan membuat panggilan video turut digunakan.

Beliau berkata meskipun penjawat awam dibenarkan bekerja dari rumah (BDR), ketua jabatan pada bila-bila masa boleh mengarahkan mereka hadir bertugas di pejabat.

"BDR ini adalah perubahan baharu dalam persekitaran cara bekerja sektor awam. Petugas boleh BDR apabila mendapat arahan daripada kerajaan atau mendapat arahan atau kebenaran daripada ketua jabatan masing-masing," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X