Selasa, 26 Januari 2021 | 6:29pm

'PKP atau PKPB selepas 4 Februari ambil kira kepentingan rakyat'

KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih ketat atau kembali kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selepas 4 Februari ini bergantung keputusan mesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pada masa ini kerajaan mengambil kira kepentingan semua pihak berhubung kesan yang menimpa mereka sekiranya PKP lebih ketat dilaksanakan.

Beliau berkata, berdasarkan reaksi dan maklum balas sebahagian besar rakyat, mereka mahukan kerajaan melaksanakan PKP sama seperti Mac lalu, manakala ramai juga mengharapkan kerajaan memberikan kelonggaran disebabkan faktor ekonomi.

"Pelbagai reaksi timbul apabila tular dalam media sosial kononnya akan ada PKPB di seluruh negara selepas 4 Februari ini, ada yang bersetuju dan ada yang tidak bersetuju.

"Yang bersetuju mereka mahukan 'lockdown' sepenuhnya sama seperti PKP fasa pertama iaitu supaya perniagaan tidak dibuka, duduk di rumah dan tidak boleh keluar kerana boleh membantu mempercepatkan penurunan kes COVID-19," katanya pada sidang media harian COVID-19 hari ini.

Beliau berkata ramai juga yang tidak bersetuju terutama peniaga serta mereka bergaji harian.

"Jadi apabila membuat keputusan, kerajaan akan melihat secara keseluruhan, kita mahu menjaga kesihatan tetapi dalam masa sama kita mahu melindungi kepentingan rakyat terutama golongan miskin, peniaga mikro tepi jalan yang terpaksa bergantung kepada jualan harian," katanya.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto BERNAMA
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto BERNAMA
Berita Harian X