Ahad, 24 Januari 2021 | 12:16pm
LINUS memberikan hasil yang baik berdasarkan pencapaian murid menguasai kemahiran 3M dengan sokongan guru dan ibu bapa. - Foto hiasan
LINUS memberikan hasil yang baik berdasarkan pencapaian murid menguasai kemahiran 3M dengan sokongan guru dan ibu bapa. - Foto hiasan

LINUS perlu dikembalikan tingkat penguasaan 3M

KUALA LUMPUR: Program Saringan Literasi dan Numerasi (LINUS) perlu dikembalikan bagi menangani isu penguasaan membaca, menulis dan mengira (3M).

Dekan Fakulti Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Rahim Razalli, berkata saringan itu bagaimanapun perlu diberi 'nafas baharu', menerusi penyediaan instrumen diselaraskan untuk kegunaan sekolah di seluruh negara.

Katanya, kebebasan menentukan jenis saringan mengikut acuan tersendiri bagi menangani isu 3M khasnya dalam kalangan lepasan prasekolah bakal mencetuskan ketidakseimbangan tahap penguasaan.

"Apabila instrumen diselaraskan, saringan berupaya dikendalikan mengikut tahap hampir sama dan tidak menimbulkan polemik apabila murid ini melanjutkan pelajaran ke Tahun Dua dan seterusnya.

"LINUS adalah ujian atau diagnostik bagi menentukan 12 aras penguasaan murid terhadap 3M, jadi ia amat penting terutama apabila memasuki Tahun Satu.

"Tatkala pandemik, ia lebih membimbangkan kerana modul pembelajaran bercampur-aduk, dengan segelintir berteraskan konsep dalam talian dan proses pendidikan dikendalikan secara sendiri oleh ibu bapa," katanya ketika dihubungi BH, semalam.

LINUS diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPM) pada 2009, sebahagian daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan dalam Program Transformasi Kerajaan, bagi mengatasi masalah penguasaan kemahiran asas 3M.

Pelaksanaannya menyasarkan 100 peratus murid Tahun Tiga menguasai kemahiran literasi dan numerasi sebelum naik ke Tahun Empat, kecuali Murid Berkeperluan Khas (MBK).

Ia bagaimanapun dihentikan pada 2019, antara lain kerana KPM tidak mahu lagi menyediakan 'pakej' atau modul sesuatu program dari atas ke bawah kementerian dan turun ke peringkat sekolah, sebaliknya sekolah melaksanakan program mengikut 'acuan' sendiri.

Kelmarin, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim, kelmarin, melahirkan kebimbangan tahap penguasaan 3M murid Tahun Satu bagi kemasukan 2021, selepas aktiviti prasekolah tahun lalu secara bersemuka sangat singkat berikutan COVID-19.

Susulan itu, KPM mencadangkan semua murid menjalani program transisi selama 43 hari dan dibuat mengikut kaedah difikirkan bersesuaian oleh guru.

Sementara itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan, juga mahu LINUS dikembalikan bagi merungkai isu penguasaan 3M yang boleh merencatkan proses pembelajaran kanak-kanak.

"Saya bersetuju LINUS dikembalikan dan sekolah masih bebas menetapkan program saringan. Namun, instrumen yang diselaraskan menerusi pelaksanaan semula LINUS ini mesti dipastikan boleh menjamin penyelesaian tuntas ke arah menangani isu 3M, khususnya lepasan prasekolah untuk ke Tahun Satu.

"Program transisi selama 43 hari tidak mencukupi untuk pelbagai latar belakang pelajar yang mungkin mempunyai keluarga dibelenggu isu kewangan dan tahap pendidikan sebelum ini," katanya.

Bagi Ahli Kumpulan Penggerak Ibu Bapa, Komuniti Swasta (KIPBKS) Kementerian Pendidikan (KPM), Faizal Mohammad Arshad, LINUS memberikan hasil yang baik berdasarkan pencapaian murid menguasai kemahiran 3M dengan sokongan guru dan ibu bapa.

"LINUS satu inisiatif sangat baik untuk pemerkasaan literasi 3M. Jika LINUS dikembalikan, ia perlu dilaksana secara teliti dengan pembabitan waris, iaitu ibu bapa kerana mereka harus diberi penerangan sejelasnya bentuk modul program terbabit.

"Jadi, tahap penguasaan anak mereka akan bertambah baik dan ibu bapa akan terus memberikan sokongan," katanya yang juga Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cochrane serta SMK (P) Bandaraya.

Katanya, LINUS perlu diteruskan untuk mengelak murid bermasalah di tahap satu iaitu Tahun Satu hingga Tahun Tiga, mengalami keciciran pelajaran.

Bagaimanapun, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata, sekolah perlu menentukan cara sendiri untuk kejayaan 3M mereka dan bagaimana untuk mengupayakan lagi sekolah ke arah itu.

"Isu dan faktor penggerak ke arah kejayaan 3M antara sekolah adalah berbeza. Kita tidak perlu kembali kepada dasar yang terbukti tidak berjaya dan banyak menyusahkan guru di sekolah," katanya.

Katanya, guru di sekolah ketika ini juga mampu melaksanakan pengajaran dan pembelajaran melalui dasar pendidikan digunakan sekarang.

KPM sentiasa berusaha perkasa TV Pendidikan

Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa berusaha memperkasa TV Pendidikan yang kini bersiaran sembilan jam sehari di beberapa stesen televisyen dengan pendekatan bersesuaian.

Menghargai pandangan dan saranan pelbagai pihak berkaitan TV Pendidikan, Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin, berkata KPM mewujudkan kembali TV Pendidikan pada 6 April 2020, sejurus pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac tahun sama.

"KPM mewujudkan semula TV Pendidikan konvensional bagi membantu murid yang tiada akses internet atau peranti sesuai mengikuti kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Pada masa ini, TV Pendidikan bersiaran sembilan jam sehari, iaitu dua jam di TV Okey, empat jam di Astro Tutor TV dan tiga jam di NTV7.

Pada masa ini, TV Pendidikan bersiaran sembilan jam sehari, iaitu dua jam di TV Okey, empat jam di Astro Tutor TV dan tiga jam di NTV7. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Pada masa ini, TV Pendidikan bersiaran sembilan jam sehari, iaitu dua jam di TV Okey, empat jam di Astro Tutor TV dan tiga jam di NTV7. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

"Kami sedar jumlah masa siaran ini masih belum mencukupi dengan mengambil kira keadaan semasa," katanya dalam Twitter rasmi beliau, semalam.

Radzi seperti dipetik BERNAMA, berkata TV Pendidikan yang mula bersiaran di televisyen konvensional pada 1972 dipindahkan kepada kaedah dalam talian melalui EduwebTV pada 1 Mac 2008 dan tidak lagi disiarkan di saluran televisyen konvensional bermula 1 Januari 2009.

Sementara itu, Dekan Fakulti Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Rahim Razalli, berkata guru ditampilkan dalam siaran tidak boleh menjadi seperti 'robot'.

Sebaliknya, beliau berkata, guru harus menganggap seolah-olah berdepan dengan murid seperti suasana di sekolah yang mempunyai pelbagai aras penguasaan subjek.

"TV Pendidikan memang lagi bagus daripada kaedah pembelajaran dalam talian kerana tidak berdepan isu peranti, internet dan kewangan, tetapi janganlah guru biarkan proses pembelajaran berlangsung secara satu hala.

"Bukan maksud saya ada interaksi langsung di antara pelajar dan guru menerusi TV Pendidikan kerana itu mustahil, sebaliknya dua hala seolah-olah ia berlangsung dalam suasana sekolah.

"Contohnya, selaraskan sukatan pembelajaran dan mengikut SKP, selain menggunakan buku teks yang dibekalkan di sekolah," katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Rahim berkata, TV Pendidikan berkonsep pembelajaran satu hala akan menyebabkan pelajar cepat bosan dan akhirnya 'menyimpang' kepada aktiviti lain di rumah kerana ibu bapa juga sibuk untuk memantau.

Berita Harian X