Sabtu, 23 Januari 2021 | 6:52pm
Seramai 145 individu yang gagal memakai pelitup muka antara 494 orang yang ditahan kerana melanggar SOP PKP, semalam. -/Foto NSTP
Seramai 145 individu yang gagal memakai pelitup muka antara 494 orang yang ditahan kerana melanggar SOP PKP, semalam. -/Foto NSTP

Polis tahan 504 individu ingkar PKP

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangkap 504 individu semalam, kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu, 494 orang dikompaun dan 10 direman.

Beliau berkata, kesalahan direkodkan termasuk tidak memakai pelitup muka membabitkan 145 individu, gagal menyediakan peralatan dan merekod butiran pelanggan (92), tiada penjarakan fizikal (77), rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran (60) dan premis beroperasi lebih masa dan tanpa kebenaran (37).

"Task Force Operasi Pematuhan diketuai PDRM membuat 53,201 pemeriksaan semalam, bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan SOP PKP.

"Sebanyak 2,882 Pasukan Pematuhan membabitkan 12,043 anggota membuat pemantauan terhadap 3,398 pasar raya; 5,729 restoran; 2,742 penjaja; 1,298 kilang; 3,425 bank dan 600 pejabat kerajaan.

"Turut dipantau 993 terminal pengangkutan darat, terminal pengangkutan air (208) dan terminal pengangkutan udara (79)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengenai Op Benteng semalam, Ismail Sabri berkata, 41 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditangkap, manakala tiga kenderaan darat dan dua bot serta kapal dirampas.

"Dalam operasi sama, turut dikesan 155 bot dan kapal berada di perairan negara melalui lima aktiviti penglihatan.

"Op Benteng membabitkan penugasan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) yang turut menjalankan 445 sekatan jalan raya semalam," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, 81 operasi sanitasi dilakukan membabitkan 38 Zon Merah, enam Zon Jingga, empat Zon Kuning dan satu Zon Hijau, di seluruh negara semalam.

Katanya, secara keseluruhan sebanyak 14,493 operasi sanitasi dijalankan merangkumi 145 zon sejak 30 Mac 2020.

"Berkaitan isu kuarantin, 975 individu tiba di pintu masuk antarabangsa semalam dan semuanya ditempatkan di stesen kuarantin di seluruh negara.

"Sejak 24 April 2020, seramai 109,174 individu pulang ke tanah air dan semua ditempatkan di 79 hotel, 16 Institut Latihan Awam (ILA) serta institut pengajian swasta," katanya.

Ismail Sabri berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) juga membuat 38 pemeriksaan tapak binaan di seluruh negara, semalam.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan, 35 tapak binaan beroperasi dengan semuanya patuh SOP, manakala tiga tapak tidak beroperasi.

"Pada hari sama, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat 757 pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan membabitkan 578 peruncit, 155 pemborong dan 24 pengilang.

"Pegawai KPDNHEP juga melakukan 1,582 pemeriksaan khas pematuhan SOP PKP.

Daripada jumlah itu, 1,564 premis mematuhi SOP, manakala 18 lagi premis diberi nasihat," katanya.

Ismail Sabri berkata, seramai 7,993 pekerja warga asing semalam menjalani ujian saringan COVID-19 dan 203 disahkan positif.

"Secara kumulatifnya, 198,422 pekerja asing membabitkan 7,790 majikan sudah menjalani ujian saringan COVID-19.

"Hasilnya 3,942 orang disahkan positif, manakala 194,480 negatif jangkitan itu," katanya.

Berita Harian X