KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menjangkakan fasiliti sedia ada untuk pesakit COVID-19 di negeri ini hanya mampu bertahan dua bulan lagi sekiranya kes jangkitan terus meningkat.
Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Husin, berkata kebelakangan ini, kes COVID-19 di Kelantan menunjukkan lonjakan melebihi 100 kes pada setiap hari dan ia amat membimbangkan.
Mengikut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), katanya, kadar kebolehjangkitan (Rt) atau R-naught (R0) COVID-19 di negeri ini adalah 1.26, melebihi bacaaan Rt kebangsaan, iaitu 1.14.
"Sekiranya kes COVID-19 di Kelantan menunjukkan trend peningkatan, kita bimbang kebolehjangkitan juga semakin meningkat, sekali gus fasiliti yang ada tidak mampu untuk menampung keperluan pesakit mendapatkan rawatan.
"Fasiliti bagi menampung pesakit COVID ketika ini adalah lapan hospital serta empat Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) iaitu tiga di Kota Bharu dan satu di Gua Musang.
"Tiga PKRC di Kota Bharu membabitkan Dewan Jubli Perak, Kolej Kejururawatan Kota Bharu dan Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Tautan Kasih PKRC Kelantan Musaadah COVID-19 di PKRC Putik, Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka, Ahmad Fathan Mahmood dan Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Kelantan, Mahadi Awang.
Terdahulu, Ahmad Fathan menyampaikan sumbangan barangan keperluan termasuk makanan kepada pesakit yang mendapatkan rawatan di PKRC PUTIK.
Dr Zaini berkata, kakitangan JKNK yang bertugas bagi menangani kes COVID-19 masih mencukupi, tetapi sekiranya keadaan memerlukan, kakitangan yang dihantar bertugas di luar Kelantan akan dipanggil pulang ke negeri ini.
"Bagaimanapun, setakat ini, kakitangan yang bertugas bagi menangani kes COVID-19 masih mencukupi," katanya.