Jumaat, 22 Januari 2021 | 7:29pm
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 660 individu atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam. - Foto NSTP
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 660 individu atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam. - Foto NSTP

PDRM tahan 660 individu ingkar PKP

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 660 individu atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu, 621 orang dikompaun manakala 39 lagi direman.

Beliau berkata, kesalahan ingkar SOP itu termasuk tidak memakai pelitup muka membabitkan 228 individu, gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (121), tiada penjarakan fizikal (96), rentas daerah serta negeri tanpa kebenaran (54) dan premis beroperasi lebih masa tanpa kebenaran (63).

"Task Force Operasi Pematuhan diketuai PDRM membuat 56,935 pemeriksaan semalam, bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan SOP PKP.

"Sebanyak 2,947 Pasukan Pematuhan membabitkan 12,402 anggota membuat pemantauan terhadap 3,396 pasar raya; 4,953 restoran; 1,712 penjaja; 1,062 kilang; 3,178 bank dan 639 pejabat kerajaan.

"Turut dipantau 944 terminal pengangkutan darat, terminal pengangkutan air (209) dan terminal pengangkutan udara (62)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengenai Ops Benteng semalam, Ismail Sabri berkata, 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditangkap, manakala 17 kenderaan darat dirampas.

"Dalam operasi itu, turut dikesan 113 bot dan kapal berada di perairan negara melalui empat aktiviti penglihatan.

"Ops ini membabitkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) yang turut menjalankan 447 sekatan jalan raya (SJR) bagi mengawal sempadan negara," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, sebanyak 85 operasi sanitasi dilakukan membabitkan 40 Zon Merah, satu Zon Jingga dan 10 Zon Kuning di seluruh negara, semalam.

"Secara kumulatifnya, sebanyak 14,412 operasi sanitasi merangkumi 145 zon dilakukan sejak 30 Mac 2020.

"Mengenai perkembangan kuarantin wajib, seramai 608 individu tiba di pintu masuk antarabangsa semalam, dan semuanya sudah dikuarantin di stesen berkaitan di seluruh negara.

"Sejak 24 April 2020, seramai 108,922 individu pulang ke tanah air dan kesemuanya ditempatkan di 79 hotel, 16 Institut Latihan Awam (ILA) serta institut pengajian swasta terpilih," katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) membuat 52 pemeriksaan tapak binaan di seluruh negara, semalam.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati 45 tapak binaan mematuhi SOP, tiga tidak patuh SOP, dua diarahkan tutup manakala dua lagi tidak beroperasi.

"Pada hari sama, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat 747 pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan membabitkan 557 peruncit, 164 pemborong dan 26 pengilang.

"Pegawai KPDNHEP juga melakukan 1,515 pemeriksaan khas pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Daripada jumlah itu, 1,496 premis mematuhi SOP, lapandiberi nasihat, lapandiberi amaran manakala tiga dikompaun atas sebab ingkar SOP," katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, seramai 5,819 pekerja warga asing semalam menjalani ujian saringan COVID-19 dan daripada jumlah itu, 84 disahkan positif.

"Secara kumulatifnya, seramai 190,429 pekerja warga asing membabitkan 7,198 majikan, menjalani ujian saringan COVID-19.

"Daripada jumlah itu, 3,739 disahkan positif manakala 186,690 lagi negatif," katanya.

Berita Harian X