Jumaat, 22 Januari 2021 | 7:11pm

213 Pusat Penilaian COVID-19 ditubuh

KUALA LUMPUR: Sebanyak 213 Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) ditubuhkan di seluruh negara bagi meneliti kelulusan menjalani rawatan di rumah.

Berdasarkan perangkaan itu, Sarawak mempunyai jumlah CAC terbanyak iaitu 40 pusat, diikuti Pulau Pinang (30), Sabah (25), Selangor (19), Kelantan (14), Terengganu (13) dan masing-masing 11 di Perlis, Kedah, Perak serta Pahang.

Johor turut mempunyai 10 CAC ketika ini, manakala Negeri Sembilan (7), masing-masing lima di Melaka, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta satu di Labuan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata CAC akan mengklasifikasi tahap pesakit COVID-19 untuk menentukan pengurusan pesakit yang seterusnya, termasuk kelulusan rawatan di rumah.

"Secara amnya, satu daerah mempunyai satu CAC, dan ada kemungkinan wujudnya dua atau lebih CAC bergantung kepada bilangan pesakit yang diuruskan.

"CAC akan berperanan mengenal pasti pesakit yang sesuai untuk dipantau di rumah. Petugas CAC kemudian akan memantau dan menilai pesakit di rumah menggunakan Peralatan Penilaian di Rumah (HAT).

"Pasukan CAC juga akan bertindak mengenal pasti dan menilai pesakit yang berkemungkinan menjadi lebih teruk, selain perlu dirujuk ke Pusat Kuarantin serta Rawatan COVID-19 (PKRC) atau hospital.

"Ini bagi pesakit kategori satu dan dua yang tidak sesuai untuk ditempatkan dan dipantau dari rumah. CAC juga berfungsi untuk menyelaras rujukan dari klinik kesihatan ke PKRC atau ke hospital," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Adham berkata setiap CAC di peringkat daerah diketuai oleh seorang koordinator, justeru orang ramai yang mempunyai keperluan boleh menghubungi pusat berkenaan melalui nombor telefon seperti dinyatakan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) masing-masing.

Menerusi langkah sedemikian, beliau meminta orang ramai untuk bersama-sama dengan kementerian dalam memerangi penularan COVID-19, secara bersepadu.

"KKM menerusi pelbagai peringkat dan saluran akan memaklumkan langkah-langkah seterusnya yang mesti dipatuhi serta diamalkan oleh pesakit sepanjang tempoh rawatan di rumah," katanya.

Berita Harian X