Jumaat, 22 Januari 2021 | 6:06pm
Anak-anak Shila Borhan bergilir-gilir menggunakan telefon bimbitnya untuk mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mereka - Foto NSTP/Adnan Ibrahim.
Anak-anak Shila Borhan bergilir-gilir menggunakan telefon bimbitnya untuk mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mereka - Foto NSTP/Adnan Ibrahim.

5 beradik kongsi telefon ibu ikuti kelas dalam talian

KLUANG: Akibat kekangan hidup, lima beradik daripada sebuah keluarga terpaksa berkongsi telefon bimbit milik ibunya untuk mengakses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang dilaksanakan sebaik sesi persekolahan bermula pada 20 Januari (kelmarin).

Lima beradik berkenaan yang juga anak kepada seorang ibu tunggal terpaksa bergilir-gilir untuk menyiapkan kerja sekolah yang dihantar melalui aplikasi WhatApps walaupun terpaksa bergilir demi memastikan mereka semua dapat menerima pembelajaran yang diberikan.

Shilla Borhan, 36, berkata, lima orang anaknya itu adalah daripada lapan orang anak yang tinggal bersamanya selepas ditinggalkan oleh suami kira-kira lima tahun lalu.

Katanya, semua anak-anaknya itu bersekolah di sebuah sekolah rendah di bandar ini dan belajar dalam tahun Dua hingga Enam tidak termasuk seorang lagi yang bersekolah di Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA).

Katanya, sebaik sesi persekolahan kelmarin, beliau terpaksa bertindak seperti guru kerana perlu menyelia serta memberikan tunjuk ajar kepada setiap orang anaknya yang belajar menggunakan telefon bimbit miliknya itu.

"Jika tahun sebelum ini, saya tidak menang tangan untuk menguruskan anak-anak bersiap-siap untuk ke sekolah namun pada tahun ini nyata berbeza kerana mereka hanya perlu menyediakan buku latihan lebih awal sebelum menunggu latihan yang akan diberikan oleh guru masing-masing.

"Bagaimanapun, saya terpaksa membahagikan masa penggunaan telefon bimbit kerana tidak mahu mereka berebut," katanya kepada BH hari ini.

Menurut Shila, akibat daripada keadaan itu, anak-anaknya akan menjadikan orang terakhir menghantar semula kerja sekolah yang diberikan kerana terpaksa bergilir sesama mereka.

"Bukan berniat untuk menagih simpati masyarakat namun adalah lebih baik sekiranya ada kaedah lain digunakan untuk menyampaikan pembelajaran ini kerana selain tidak semua keluarga mampu menyediakan gajet kepada anak-anak mereka namun banyak juga kawasan di Kluang ini tidak mempunyai liputan internet yang kuat.

"Memang ada sekolah yang menyediakan salinan kerja rumah yang akan diambil oleh ibu bapa di sekolah namun ianya tidak sama dengan cara bersemuka khususnya kepada murid-murid tahun satu yang baharu memulakan persekolahan tahun ini," katanya.

Berita Harian X