Jumaat, 22 Januari 2021 | 11:55am
Foto ihsan Facebook Noor Hisham Abdullah
Foto ihsan Facebook Noor Hisham Abdullah

Lebih 1.26 juta ujian RTK-Ag dilaksanakan di Malaysia

KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,266,862 saringan COVID-19 menerusi Kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) dilaksanakan di negara ini sejak Mei tahun lalu sehingga semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pada awal penggunaannya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) belum lagi mengesyorkan ujian RTK-Ag.

"Penggunaan ujian RTK-Ag adalah semakin meningkat di seluruh negara dan di Sabah sahaja hampir mencecah 100,000 sebulan," katanya dalam kenyataan di laman sosialnya hari ini.

Terdahulu dalam entri awal, Dr Noor Hisham memaklumkan penggunaan RTK-Ag perlu dilakukan pengendali yang terlatih.

Beliau berkata, bagi memperoleh hasil saringan terbaik, ujian perlu dilakukan dalam tempoh lima hingga tujuh hari pertama selepas wujudnya gejala.

"Lebih spesifik untuk (disaring kepada) kluster baharu yang kadar positifnya tinggi dan apabila kajian seiring menunjukkan PPV (nilai ramalan positif) adalah tinggi," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kit ujian itu juga digunakan apabila sistem kesihatan negara mula terbeban dengan peningkatan kes baharu setiap hari.

Berita Harian X