Jumaat, 22 Januari 2021 | 9:58am
 Foto ihsan Twitter Noor Hisham Abdullah
Foto ihsan Twitter Noor Hisham Abdullah

Saringan RTK-Ag perlu dijalankan pengendali terlatih

KUALA LUMPUR: Penggunaan Kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) bagi tujuan saringan COVID-19 perlu dilakukan pengendali yang terlatih.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata bagi memperoleh hasil saringan terbaik, ujian perlu dilakukan dalam tempoh lima hingga tujuh hari pertama selepas wujudnya gejala.

"Lebih spesifik untuk (disaring kepada) kluster baharu yang kadar positifnya tinggi dan apabila kajian seiring menunjukkan PPV (nilai ramalan positif) adalah tinggi," katanya dalam ciapan di Twitternya.

Beliau berkata, kit ujian itu juga digunakan apabila sistem kesihatan negara mula terbeban dengan peningkatan kes baharu setiap hari.

"Ketepatan kit ujian mestilah melebihi tahap 80 peratus dan pengkhususannya melebihi 97 peratus," katanya mengulas syor beberapa pihak mengenai penggunaan RTK-Ag bagi ujian pengesanan COVID-19.

Dr Noor Hisham berkata, kit ujian itu juga digunakan apabila tempoh masa bagi memperoleh hasil ujian bagi RT PCR melebihi 48 hingga 72 jam atau jika ujian RT-PCR tidak tersedia.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini menjelaskan, Malaysia adalah antara beberapa negara di dunia yang terawal menggunakan RTK-Ag untuk melakukan saringan COVID-19.

Beliau dilaporkan berkata Kementerian Kesihatan (KKM) sudah menggunakannya sejak Jun tahun lalu dan kit berkenaan dinilai oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (NPHL) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bagi memastikan ia mematuhi standard diperlukan dan kemudiannya diluluskan oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) untuk kegunaan lebih meluas dalam komuniti.

Muhyiddin berkata demikian sebagai respons kepada surat terbuka kepada beliau yang dihantar oleh sekumpulan pakar kesihatan pada 7 Januari lalu dan kumpulan itu antaranya menggesa supaya saringan ditingkatkan dengan menggunakan RTK-Ag dan bukannya kaedah Tindak Balas Rantai Polimer (PCR) untuk membantu mengurangkan penularan COVID-19.

Berita Harian X