Selasa, 19 Januari 2021 | 7:28pm
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meluangkan masa melawat Hospital Bersepadu Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) 2.0 di Serdang dekat sini, hari ini. - Foto Ihsan RTM
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meluangkan masa melawat Hospital Bersepadu Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) 2.0 di Serdang dekat sini, hari ini. - Foto Ihsan RTM

PM lawat Hospital Bersepadu MAEPS 2.0

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meluangkan masa melawat Hospital Bersepadu Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) 2.0 di Serdang dekat sini, hari ini.

Beliau yang tiba pada jam 5.20 petang kemudian diiringi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba ke sesi taklimat tertutup pengoperasian oleh Pengarah Kesihatan Selangor merangkap Komander Pusat Kawalan Bersepadu COVID-19 WilayahTengah, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Selepas taklimat, Perdana Menteri dibawa melawat dan bertemu pesakit sedang dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) yang berkonsepkan mesra keluarga sebelum meninjau sekitar hospital itu.

Hospital Bersepadu 2.0 dijangka beroperasi sepenuhnya pada Ahad ini bagi merawat pesakit COVID-19 kategori tiga, empat dan lima untuk distabilkan sebelum dihantar mendapatkan rawatan rapi di hospital.

Langkah itu bagi merawat pesakit COVID-19 kategori satu dan dua di PKRC MAEPS 2.0 yang tiba-tiba berubah kepada kategori tiga atau empat dan lima.

Hospital yang terletak di Dewan B menyediakan fasiliti sama dengan hospital lain, dilengkapi 30 katil bagi pesakit kategori tiga dan empat, selain sebuah khemah di luar dewan untuk kes transit Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 10 katil. – BERNAMA

Berita Harian X