Sabtu, 16 Januari 2021 | 4:18pm
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba (dua dari kiri) meninjau persiapan wad tambahan di Blok D1 ketika melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, hari ini. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba (dua dari kiri) meninjau persiapan wad tambahan di Blok D1 ketika melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, hari ini. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

COVID-19: Hospital bersepadu di PKRC 2.0

SERDANG: Hospital bersepadu bagi merawat pesakit lebih kritikal kategori tiga dan empat akan dibina di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) 2.0.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, menjelaskan hospital itu akan mula beroperasi pada 24 Januari ini, dengan kapasiti permulaan 30 katil.

Selain itu, katanya, pembinaan hospital bersepadu di dewan B yang kini menempatkan pesakit wanita akan dilengkapi peralatan unit rawatan rapi (ICU), pakar penyakit berjangkit dan pakar bius.

"Hospital bersepadu ini dibina untuk merawat individu yang sebelum itu berada dalam kategori satu atau dua, tetapi tahap kesihatan mereka merosot ke kategori tiga atau empat.

"Kita akan cuba stabilkan pesakit lebih kritikal ini sebelum dihantar ke Hospital Serdang atau hospital lain yang berdekatan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Oleh itu, kita perlukan khidmat pakar penyakit berjangkit dan pakar bius bagi mengendalikan pesakit kategori lebih kritikal, selain kelengkapan bersesuaian seperti alat bantuan pernafasan.

"Sebanyak 30 katil pesakit lebih kritikal ini akan ditempatkan di tengah-tengah dewan B, manakala 1,040 katil lagi merangkumi pesakit kategori satu dan dua di kawasan sekeliling," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau prestasi dan keadaan semasa PKRC 2.0, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.

Dr Adham berkata, kementerian akan melaksanakan proses rawatan COVID-19 berteraskan strategi 'step down care' atau penyusutan tahap penjagaan, susulan perkembangan semasa pandemik itu di Malaysia.

Menerusi pendekatan itu, katanya, pesakit yang ditempatkan di hospital dan dilaporkan sembuh lebih awal daripada kategori tiga, empat dan lima akan dibawa ke PKRC 2.0.

"Apabila sembuh (daripada komplikasi kesihatan seperti radang paru-paru) dan berada dalam kategori satu dan dua, mereka boleh dibawa ke PKRC 2.0.

"Daripada laporan yang kita terima, ada pesakit COVID-19 dalam kategori tiga, empat dan lima yang cepat sembuh selepas menerima rawatan di hospital.

"Oleh itu, menerusi kaedah ini, kita jangka dapat menerima pesakit dari Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk ditempatkan di PKRC 2.0," katanya.

Berita Harian X