Jumaat, 15 Januari 2021 | 5:52pm
Khidmat ATM digunakan mengawal sekatan jalan raya bersama polis ketika PKP sejak Mac lalu - Foto NSTP/hiasan
Khidmat ATM digunakan mengawal sekatan jalan raya bersama polis ketika PKP sejak Mac lalu - Foto NSTP/hiasan

Minta timbang semula kuasa tentera tahan orang awam

KUALA LUMPUR: Lawyers for Liberty meminta kerajaan menimbang semula keputusan memberikan kuasa kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menahan individu yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Koordinatornya, Zaid Malek, berkata perkara itu adalah penting untuk ditimbang semula kerana orang ramai tidak boleh dilayan seperti musuh dan ditangani oleh pihak tentera.

Katanya, pesalah PKP perlu ditangani mengikut undang-undang oleh polis yang sudah dilatih untuk berbuat demikian selain hak mereka dijaga pada setiap masa.

"Terdapat kebimbangan sekiranya pihak tentera dibenarkan untuk menahan orang awam ia mungkin menyebabkan berlaku penggunaan kekerasan atau perkara lain yang melanggar hak kebebasan awam.

"Antara contoh, video tular Disember lalu menunjukkan kekerasan tentera dalam menangani pekerja asing yang didakwa melanggar perintah berkurung," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Ordinan Darurat memberi kuasa kepada anggota tentera menahan orang awam yang melanggar PKP sama seperti polis mengikut Kanun Acara Jenayah (KAJ) bertujuan membantu menangani penularan wabak COVID-19.

Beliau berkata kegusaran mengenai penggunaan kekerasan itu tetap timbul walaupun pihaknya menyedari tidak semua anggota tentera bersikap demikian.

"Bagaimanapun, kegusaran yang timbul daripada insiden itu adalah sesuatu yang benar dan perlu ditangani," katanya.

Zaid, berkata Ismail Sabri juga tidak menjelaskan kenapa pihak tentera diberikan kebenaran untuk menahan pesalah PKP.

"Pihak tentera dilatih untuk bertempur dalam peperangan bersenjata menentang pihak luar dan bukan untuk menangani penahanan orang awam," katanya.

Berita Harian X