Jumaat, 15 Januari 2021 | 5:41pm
ANTARA bahagian kapal lama yang ditemui berhampiran sungai Lipis petang semalam. Gambar Ihsan Pembaca.
ANTARA bahagian kapal lama yang ditemui berhampiran sungai Lipis petang semalam. Gambar Ihsan Pembaca.

Rangka kapal lama ditemui di tebing Sungai Lipis

LIPIS: Penduduk menemui kapal lama di tepi Sungai Lipis dekat Kampung Pagar, Batu 6, di sini dipercayai dibawa arus deras selepas banjir besar, baru-baru ini.

Sharimah Mohd Nor, 50, berkata beliau terlihat tinggalan kapal lama itu berdekatan jambatan gantung Sungai Kampung Pagar Penjom, kira-kira jam 5.00 petang semalam.

Katanya, beliau membuat laporan di Balai Polis Penjom.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor, berkata anggota balai berkenaan ke lokasi dan menemui rangka kapal lama itu.

"Ada sekeping logam yang bertulis 'VIVIA AND SONS SHEATING', namun terdapat beberapa bahagian badan kapal sudah tiada,' katanya.

Katanya, siasatan polis mendapati sekumpulan penduduk mengambil bahagian tertentu kapal berkenaan.

"Polis memaklumkan kepada pihak Jabatan Warisan Malaysia untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata, menurut Akta Warisan Kebangsaan, orang ramai yang menemui objek yang dipercayai mempunyai warisan kebudayaan hendaklah memberitahu pihak berkuasa.

Azli berkata, mana-mana pihak yang memusnahkan, merosakkan, mencacatkan, melupuskan atau mengubah sesuatu warisan kebudayaan ketara tanpa suatu permit yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dianggap melakukan kesalahan.

"Jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau keduanya sekali," katanya.

Berita Harian X