Jumaat, 15 Januari 2021 | 2:37pm
Penumpang feri terutama dari luar negeri ini yang hendak memasuki Pulau Langkawi melalui Terminal Feri Kuala Kedah dan tidak mempunyai surat kebenaran rentas negeri, tidak dibenarkan menaiki feri. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin
Penumpang feri terutama dari luar negeri ini yang hendak memasuki Pulau Langkawi melalui Terminal Feri Kuala Kedah dan tidak mempunyai surat kebenaran rentas negeri, tidak dibenarkan menaiki feri. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Penumpang luar Kedah perlu surat kebenaran polis untuk ke Langkawi

ALOR SETAR: Penumpang feri terutama dari luar negeri ini yang hendak memasuki Pulau Langkawi melalui Terminal Feri Kuala Kedah dan tidak mempunyai surat kebenaran rentas negeri, tidak dibenarkan menaiki feri.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner, Ahmad Shukri Mat Akhir, berkata tindakan tegas perlu diambil untuk membendung penularan COVID-19 ke pulau lagenda itu.

Beliau berkata, sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuat kuasakan Rabu lalu, perjalanan feri hanya dibenarkan melalui Kuala Kedah sahaja manakala laluan dari Kuala Perlis ditutup bagi mengelak pergerakan rentas negeri berlaku.

"Pasukan Pemantau COVID akan melakukan pemantauan dan rondaan di kawasan terminal feri ketika penumpang hendak menaiki feri bagi memastikan mereka mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan.

"Semua penumpang perlu memakai pelitup muka, mengimbas MySejahtera dan berada pada jarak kira-kira satu meter ketika berada di terminal selain memakai cecair pensanitasi tangan," katanya di sini, hari ini.

Ahmad Shukri berkata, pergerakan di terminal feri ke Langkawi sudah dikurangkan kepada satu perjalanan sehari namun setiap pergerakan memerlukan surat kebenaran kerana kebanyakan pengunjung ke sana terdiri dari luar Kedah.

Bagaimanapun, tapisan mungkin sudah dilakukan ketika pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) dan beliau percaya tidak ramai pengunjung dari luar negeri ini akan pergi ke Langkawi dalam tempoh PKPB ini.

"Namun jika ada penumpang dari luar Kedah yang tidak mempunyai surat kebenaran, mereka tidak dibenarkan menaiki feri dan tindakan tegas akan diambil," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, syarikat Ferry Line Ventures Sdn Bhd menghentikan perkhidmatan perjalanan feri dari Pulau Langkawi ke Kuala Perlis bermula semalam, berikutan perlaksanaan PKPB.

Setiap hari, hanya satu perjalanan pergi dan balik ke Langkawi beroperasi di Terminal Kuala Kedah.

Berita Harian X