Jumaat, 15 Januari 2021 | 2:31pm
ISTANA Negara. - Foto ASWADI ALIAS
ISTANA Negara. - Foto ASWADI ALIAS

Ordinan Darurat: Agong putuskan tarikh sesuai adakan pilihan raya

KUALA LUMPUR: Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang diwartakan pada Isnin lalu memperuntukkan sebarang pilihan raya tidak perlu diadakan sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa.

Berdasarkan Seksyen 12, kekosongan luar jangka dalam kalangan ahli Dewan Rakyat dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atau kekosongan ahli Dewan Negara yang dipastikan oleh Yang Dipertua Dewan Negara seperti termaktub di bawah Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan, tidak mempunyai kesan sepanjang tempoh darurat.

"Bagi maksud mengisi kekosongan dalam kalangan ahli Dewan Negara, pelantikan itu hendaklah dibuat dalam masa 60 hari atau menurut Jadual Ketujuh Perlembagaan Persekutuan, mengikut mana-mana yang berkenaan dari tarikh Proklamasi Darurat yang dikeluarkan pada 11 Januari 2021 dibatalkan atau diungkaikan.

"Bagi maksud mengadakan apa-apa pilihan raya untuk mengisi kekosongan luar jangka dalam kalangan ahli Dewan Rakyat, SPR hendaklah mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari dari tarikh Proklamasi Darurat yang dikeluarkan pada 11 Januari 2021 dibatalkan atau diungkaikan, tertakluk kepada proviso kepada Fasal (1) Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan mengenai kekosongan luar jangka," menurut dokumen ordinan itu yang disiarkan di laman web rasmi Pejabat Peguam Negara.

Dokumen itu memperincikan, bagi mengelak keraguan sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa, Fasal (4) Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan hendaklah mempunyai kesan seolah-olah perkataan 'dalam tempoh 60 hari dari tarikh ia bubar dan Parlimen hendaklah dipanggil bermesyuarat pada satu tarikh yang tidak lewat daripada 120 hari dari tarikh itu', dipotong.

"Malah, Fasal (3) Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan yang mempunyai kesan seolah-olah perkataan 'selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya dan selepas itu adalah terbubar', turut dipotong," menurut dokumen itu lagi.

Berhubung Subseksyen (5) bagi maksud Fasal (4) Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya umum hendaklah diadakan dan mesyuarat Parlimen hendaklah dipanggil pada tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Perkara sama turut diperuntukkan bagi pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mana sebarang peruntukan berhubung pilihan raya DUN tidak terpakai sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa.

"Justeru, pilihan raya bagi pemilihan ke DUN hendaklah diadakan pada tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Raja atau Yang di-Pertua Negeri berkenaan," menurut dokumen berkenaan.

Mengenai persidangan Parlimen, ordinan itu memperincikan, sebarang peruntukan untuk memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen, tidak mempunyai kesan dan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada satu tarikh difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Oleh itu, mana-mana mesyuarat Parlimen yang dipanggil sebelum tarikh permulaan kuat kuasa ordinan itu, tetapi belum diadakan adalah dibatalkan.

"Proses sama turut diperuntukkan bagi persidangan DUN yang mana ia hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada satu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Raja atau Yang di-Pertuan Negeri yang berkenaan," katanya lagi.

Pengisytiharan darurat bagi menangani ancaman COVID-19 yang berkuat kuasa 11 Januari lalu hingga 1 Ogos depan, diwarta dan disiarkan di laman web rasmi Pejabat Peguam Negara.

Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Januari lalu dikeluarkan Perdana Menteri dengan titah perintah Yang di-Pertuan Agong.

Selasa lalu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat sehingga 1 Ogos 2021 atau suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Berita Harian X