Khamis, 14 Januari 2021 | 8:59pm
LMS SUNDANG dengan rasmi menjadi milik Kerajaan Malaysia. - Foto TLDM
LMS SUNDANG dengan rasmi menjadi milik Kerajaan Malaysia. - Foto TLDM

TLDM terima 'Sundang', kapal LMS kedua dibina di China

KUALA LUMPUR: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerima Kapal Misi Pesisir (LMS) keduanya, iaitu Sundang di Pelabuhan Wucang, Shanghai, China, hari ini, selepas lebih dua tahun pembinaannya.

Dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan Sundang berjaya melepasi beberapa siri ujian penerimaan di pelabuhan dan laut, sebelum diserahkan kepada Kerajaan Malaysia dan dijadual belayar pulang ke negara ini pada minggu ketiga bulan ini.

Menurut kenyataan itu, Sundang mula dibina pada 23 Oktober 2018 di Wuchuan Shuangliu Manufacture Base, Wuhan, China sebelum dijadual diserah kepada Kerajaan Malaysia pada 12 April tahun lalu.

Namun, ia hanya dapat dilaksanakan semalam, susulan penularan COVID-19 di seluruh dunia, yang menyaksikan pembinaan Sundang terpaksa ditangguhkan pada 23 Januari tahun lalu.

"Projek ini diaktifkan semula pada 18 Mei 2020 dan bakal warga kapal Sundang dihantar semula ke Qidong, Shanghai pada Oktober tahun lalu bagi menyambung siri latihan penyesuaian kapal yang tertangguh," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut, upacara pentauliahan kapal berkenaan akan diadakan pada satu tarikh yang ditetapkan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu oleh Panglima Tentera Laut, Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.

LMS antara lima kelas kapal dalam Program Transformasi Armada '15to5' TLDM dan kontrak perolehan empat LMS sudah dimeterai di antara Kementerian Pertahanan Malaysia dengan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd pada 23 Mac 2017, dengan kerjasama China Shipbuilding & Offshore International Co Ltd.

Ia adalah projek perolehan aset pertahanan kapital yang pertama dari China, manakala kapal ketiga serta keempat pula masing-masing dijadual diserahkan pada September dan November ini. - BERNAMA

Berita Harian X