Khamis, 14 Januari 2021 | 11:20am
Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir
Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir

Gesa kepimpinan kerajaan, rakyat bersatu demi melindungi negara - Tuanku Muhriz

KUALA PILAH: Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bertitah supaya kepimpinan kerajaan di semua peringkat dan rakyat bersatu dan sentiasa menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi, mempertahan serta melindungi negara terutama dalam mendepani cabaran COVID-19.

"Menyedari akan impak pandemik ini ke atas ekonomi, Beta juga menggesa supaya kerajaan negeri teguh mengemudi pentadbiran dan kreatif mencorakkan strategi yang lebih dinamik dalam pelaksanaan pembangunan negeri ini ke arah pemulihan ekonomi," titah Tuanku Muhriz menerusi kenyataan sempena Ulang Tahun Ke-73 baginda, hari ini.

Baginda turut menzahirkan rasa bangga dengan kejayaan kerajaan dalam mengawal pandemik COVID-19.

Penularan wabak pandemik COVID-19 yang melanda negara menyebabkan sambutan Hari Keputeraan tidak dapat diteruskan seperti kelaziman.

Titahnya, berbanding dengan negara yang dianggap lebih maju dari segi kepakaran dan sistem kesihatan, kejayaan pengawalan penularan wabak COVID-19 di negara ini amat mengagumkan.

"Kejayaan ini dicapai melalui kepimpinan agensi kesihatan yang mengatur perancangan dan strategi berkesan memastikan penularan wabak ini dapat dibendung.

"Kita semua seharusnya menghargai dan berterima kasih atas tindakan segera mereka mengetuai usaha mengawal wabak ini yang dilaksanakan semua jentera kerajaan berkaitan," titah baginda.

Baginda turut bangga dan amat menghargai komitmen serta dedikasi semua petugas barisan hadapan kesihatan, anggota polis, tentera, sukarelawan daripada pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu yang memberi bantuan.

Titah baginda, kerajaan sudah melaksanakan beberapa inisiatif untuk meringankan bebanan rakyat yang terkesan berikutan impak pandemik ini menerusi bantuan kepada aktiviti ekonomi harian mereka.

"Beta yakin dan percaya, kerajaan sentiasa meletakkan fokus dan keutamaan dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat terjamin dan terbela," titahnya.

Baginda menyeru agar kepimpinan kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri serta rakyat keseluruhannya bersatu, bagi mempertahan dan melindungi negara ini.

"Kepentingan kestabilan negara perlu diutamakan berbanding kecelaruan percaturan politik semasa yang meresahkan dan tidak berkesudahan.

"Sebagai pemimpin yang beramanah, berikan contoh teladan yang baik pada setiap masa dengan saling bergandingan dalam melahirkan buah fikiran yang bermanfaat demi kemaslahatan dan kepentingan rakyat, bukannya untuk kepentingan sempit kelompok tertentu," titahnya.

Tuanku Muhriz menggesa supaya kerajaan teguh mengemudi pentadbiran dan kreatif mencorakkan strategi yang lebih dinamik dalam pelaksanaan pembangunan negeri ini ke arah pemulihan ekonomi.

Titahnya, usaha itu tidak hanya menuntut tanggungjawab di pihak kerajaan semata-mata tetapi perlu turut dipikul bersama segenap lapisan masyarakat termasuk pihak swasta dalam menggembleng tenaga dan khidmat demi kesinambungan kemajuan Negeri Sembilan.

Baginda juga menyeru semua agar menjadikan kebersihan sebagai satu budaya.

"Pemerhatian Beta mendapati segelintir masyarakat memandang remeh akan kepentingan kebersihan dengan membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya.

"Mutu sistem pengurusan sampah hendaklah ditambah baik tetapi ia bukan kaedah penyelesaian sebenar kerana yang lebih penting ialah sikap dan pendirian masyarakat terhadap kebersihan.

"Pada tahun lalu, Beta telah melancarkan Kempen Negeri Sembilan Bersih bertemakan 'Jangan Buang Sampah Merata-rata' bertujuan menyedarkan masyarakat pentingnya amalan kebersihan.

"Pendedahan budaya kebersihan perlu dimulakan pada kanak-kanak seawal pendidikan prasekolah dan di rumah, kemudian ia diteruskan sehingga mereka menamatkan pelajaran," titah baginda.

Tuanku Muhriz turut bangga dengan tahap perpaduan masyarakat yang saling membantu ketika banjir melanda beberapa daerah di negeri ini, baru-baru ini.

"Tindakan pantas kerajaan negeri serta agensi yang terbabit dengan kerjasama masyarakat yang prihatin, dapat memastikan mangsa banjir diberikan bantuan segera dan sokongan yang sebaiknya," titahnya.

Berita Harian X