Rabu, 13 Januari 2021 | 11:57pm
Hasil jualan peniaga merosot susulan SOP dikeluarkan mengelirukan pengguna. FOTO NSTP
Hasil jualan peniaga merosot susulan SOP dikeluarkan mengelirukan pengguna. FOTO NSTP

Keliru SOP ketika PKP jejas jualan perniagaan

KUALA LUMPUR: Kekeliruan terhadap prosedur operasi standard (SOP) ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bakal mengundang kesan negatif kepada potensi jualan di pusat beli belah.

Presiden Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPKM), Tan Sri Teo Chiang Kok, berkata kebanyakan pengusaha kedai, khususnya penjual pakaian dan barang perhiasan membuat tempahan bekalan, sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Bagaimanapun, katanya rata-rata pengusaha kini berdepan masalah apabila bekalan sedemikian mungkin tidak terjual, sekali gus menyaksikan peniaga terpaksa menanggung kerugian.

"Walaupun sukar, pusat beli belah dan pengusaha kedai akhirnya boleh merungkai masalah yang berlaku, susulan kekeliruan dalam pelaksanaan SOP ketika PKP.

"Namun, mereka masih tidak mampu menguruskan kos operasi dan kos tidak langsung, seperti gaji pekerja.

"Masalah ini tercetus kerana kehadiran orang ramai di pusat beli belah menyusut secara mendadak dan keuntungan daripada jualan juga merudum berikutan pelaksanaan SOP yang ketat," katanya kepada BH, hari ini.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) semalam mengeluarkan senarai jenis perniagaan yang dibenarkan beroperasi, sepanjang pelaksanaan PKP di enam negeri, yang berkuat kuasa sehingga 26 Januari ini.

Sekiranya diteliti pada sektor perdagangan dan pengedaran, beberapa jenis perniagaan membabitkan gudang, logistik, perkhidmatan, penjualan, penghantaran makanan, minuman, peruncitan, pengedaran dan pemborongan dibenarkan beroperasi.

Chiang Kok berkata, persatuan setakat ini tidak menerima sebarang laporan daripada pengusaha atau pengurusan pusat beli belah, mengenai keputusan untuk menutup operasi kedai sepanjang PKP, berikutan penyusutan kadar kehadiran pengunjung.

"Mereka tidak mempunyai kewajipan untuk melaporkan perkara sedemikian, tetapi kita akui memang wujud kekeliruan dalam kalangan pengusaha ketika ini.

"Disebabkan kekeliruan ini dan bagi mengelak menanggung kerugian yang berterusan, tidak dinafikan pengusaha mungkin terpaksa mengambil keputusan menghentikan operasi," katanya.

Bagi menangani kesan pelaksanaan PKP, Chiang Kok meminta kerajaan untuk mengumumkan bantuan fiskal kepada pengusaha berkaitan, memandangkan kedudukan kewangan mereka masih 'lemah' susulan tempias kawalan pergerakan fasa pertama, pada 18 Mac tahun lalu.

Katanya, pengecualian bayaran statutori dan sumbangan menerusi diskaun bayaran utiliti mungkin berupaya dipertimbangkan, bagi menyerap kadar kerugian yang terpaksa ditampung pengusaha.

"Sekiranya PKP ini terpaksa dilanjutkan bagi memerangi penularan COVID-19, banyak perniagaan, khususnya yang tergolong dalam senarai negatif untuk beroperasi akan berdepan masalah.

"Sesetengah berada dalam situasi kewangan yang amat rapuh, justeru kelestarian perniagaan mereka mungkin terkesan sekiranya kerajaan tidak tampil menghulurkan bantuan berkaitan," katanya.

Berita Harian X