Isnin, 11 Januari 2021 | 5:08pm
Dr Adham. FOTO NSTP
Dr Adham. FOTO NSTP

PM mungkin umum langkah kawalan lebih ketat - Dr Adham

PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba membayangkan tindakan dan langkah lebih ketat bakal diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi perutusan khasnya, petang ini.

Dr Adham berkata, tindakan lebih ketat itu adalah antara langkah drastik yang mungkin kerajaan laksanakan bagi menurunkan jumlah kes jangkitan harian COVID-19.

"Perdana Menteri akan mengumumkan langkah yang sangat perlu untuk mengawal jangkitan COVID-19.

"Tentu sekali kita akan melihat penurunan jumlah kes sekiranya langkah yang akan dilaksanakan itu bertepatan," katanya pada sidang media, hari ini.

Muhyiddin dijadual menyampaikan Perutusan Khas Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada jam 6 petang ini, susulan peningkatan kes jangkitan COVID-19 sebanyak empat angka sejak Disember lalu.

Dr Adham berkata, kerajaan memerlukan sokongan masyarakat untuk mengurangkan jangkitan COVID-19 dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutama mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan.

"Ia termasuk sentiasa menegur rakan untuk tidak bersembang terlalu dekat atau berada dalam kawasan sesak tanpa memakai pelitup muka selain tidak perlu keluar tanpa ada sebab," katanya.

Beliau mengulas unjuran dimaklumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebelum ini yang perkhidmatan kesihatan negara berkemungkinan tidak dapat menampung jumlah pesakit jika kes harian COVID-19 mencecah 5,000 sehari,

Sementara itu, Dr Adham berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa memastikan peralatan diperlukan di hospital mencukutpi terutama katil, wad, Unit Rawatan Rapi (ICU) dan alat bantuan pernafasan bagi merawat pesakit COVID-19.

Beliau berkata, pada masa sama sumber manusia juga amat diperlukan dan kementerian sentiasa memastikan tenaga kerja mencukupi bagi merawat kes COVID-19.

"Sumber manusia ini untuk bertugas di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) termasuk di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang; Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) serta beberapa pusat lain yang sudah diwartakan.

"Tempat ini bersedia untuk menerima pesakit COVID-19 berisiko rendah tahap satu dan dua manakala pesakit berisiko tinggi dirawat di hospital KKM.

"Kita juga sedang mempersiapkan supaya hospital swasta juga berperanan merawat kes COVID-19 pada masa hadapan," katanya.

Berita Harian X