Sabtu, 9 Januari 2021 | 11:48am
Feri Rapid Pulau Pinang sebelum ini dikenali sebagai Perkhidmatan Feri Pulau Pinang, tidak dibatalkan. - NSTP/Danial Saad
Feri Rapid Pulau Pinang sebelum ini dikenali sebagai Perkhidmatan Feri Pulau Pinang, tidak dibatalkan. - NSTP/Danial Saad

Kementerian Pengangkutan tidak batalkan projek infrastruktur Pulau Pinang

GEORGE TOWN: Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak membatalkan tiga projek prasarana yang mahu dilaksanakan kerajaan Pulau Pinang, seperti didakwa pemimpin politik dari negeri itu.

Kementerian itu berkata, Feri Rapid Pulau Pinang sebelum ini dikenali sebagai Perkhidmatan Feri Pulau Pinang, tidak dibatalkan.

"Perkhidmatan feri itu, sebaliknya ditambah baik mengikut arus pemodenan bagi memberikan lebih keselesaan, mempercepatkan perjalanan, mengutamakan aspek keselamatan penumpang, keupayaan dalam penyelenggaraan agar lebih berdaya maju untuk jangka masa panjang.

"Ini juga bagi menambah baik kelemahan feri lama yang sering rosak dengan purata sebulan sekali. Oleh kerana RM30 juta sudah diperuntukkan Kerajaan Persekutuan untuk membeli bas air yang baharu dan pengangkut kenderaan untuk perkhidmatan itu," kata kementerian itu.

Feri Rapid Pulau Pinang sebelum ini dikenali sebagai Perkhidmatan Feri Pulau Pinang, tidak dibatalkan. - NSTP/Danial Saad
Feri Rapid Pulau Pinang sebelum ini dikenali sebagai Perkhidmatan Feri Pulau Pinang, tidak dibatalkan. - NSTP/Danial Saad

Prasarana Malaysia Bhd sudah menyewa dua feri laju untuk digunakan sementara, sehingga feri baharu mula beroperasi dalam jangka masa 18 bulan lagi.

"Fasa pemodenan bermula dengan tiga buah bas air (khusus membawa penumpang) mulai 1 Januari 2021, manakala dua kenderaan pengangkut yang membawa kenderaan dua roda seperti motosikal dan basikal pula akan beroperasi pada tahun 2022.

"Penang Port Sdn Bhd (PPSB) akan mempercepatkan proses mendapatkan bas air yang baharu ini daripada pembekal sebelum ia dapat memulakan operasi sepenuhnya," menurut kenyataan itu.

Menurut kementerian itu, bagi memelihara warisan dan budaya Pulau Pinang yang ikonik tersebut, cadangan pelbagai pihak termasuk daripada Setiausaha DAP Pulau Pinang, Senator Lim Hui Ying, pada 17 Disember lalu akan dipertimbangkan, antaranya menjadikan feri lama sebagai restoran terapung, muzium ataupun dijadikan sebagai pelayaran pelancongan.

Kelmarin, Hui Ying, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam kenyataan media mereka, dilapor berkata Pulau Pinang akan meneruskan empat projek yang dibatalkan Kerajaan Persekutuan sebelum ini, demi kepentingan dan manfaat 1.6 juta rakyat negeri itu biarpun mempunyai sumber yang amat terhad.

Menyentuh isu Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), kementerian itu berkata, cadangan projek pembesaran LTAPP belum dibatalkan seperti dinyatakan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong di Parlimen pada 12 November lalu.

"Walau bagaimanapun, ia akan diteliti semula secara menyeluruh dengan mengambil kira permintaan penumpang serta keadaan ekonomi akibat pandemik COVID-19 yang memberi kesan besar kepada industri penerbangan awam," katanya.

Memandangkan kurang permintaan penumpang, maka kerajaan Pulau Pinang disarankan supaya menumpukan kepada beberapa perkara utama terlebih dahulu seperti melakukan proses pengambilalihan tanah bagi projek pembesaran lapangan itu, katanya.

Kementerian itu berkata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) telah melaporkan bahawa jumlah permintaan penumpang penerbangan peringkat global telah menurun secara mendadak sehingga 55 peratus pada tahun 2020 berbanding tahun 2019.

Menurut kenyataan itu penurunan jumlah penumpang untuk LTAPP juga adalah lebih teruk iaitu sehingga 78 peratus daripada 8.256 juta pada tahun 2019 kepada 1.816 juta pada tahun 2020.

Berkenaan projek Transit Aliran Ringan dari Bayan Lepas ke Komtar (BLLRT), kementerian itu berkata, ia tidak dibatalkan seperti didakwa, sebaliknya kerajaan Pulau Pinang belum menyerahkan kelulusan akhir Penilaian Impak Sosial (SIA) dan Laporan Impak Alam Sekitar (EIA) dari Jabatan Alam Sekitar serta Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLAN Malaysia).

Justeru kementerian berharap, pemimpin politik dapat menahan diri daripada menyebarkan cerita fiksyen hanya demi kepentingan politik mereka serta perlu sentiasa memberikan fakta sebenar kepada rakyat.

"Kementerian akan terus menerima baik segala pendapat dan saranan daripada semua kerajaan negeri berhubung pembangunan dan penambahbaikan infrastruktur pengangkutan awam demi kesinambungan, keselesaan serta keselamatan semua penumpang," jelas kenyataan itu. – BERNAMA

Berita Harian X