Khamis, 7 Januari 2021 | 5:08pm
Najib Razak (tengah) tiba untuk perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana milik 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.- Foto/Aswadi Alias.
Najib Razak (tengah) tiba untuk perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana milik 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.- Foto/Aswadi Alias.

Mahkamah beri amaran tegas kepada Najib

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini mengeluarkan amaran tegas kepada Datuk Seri Najib Razak supaya tidak mengulangi tindakan beliau memuat naik hantaran di Facebook membabitkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya.

Hakim Collin Lawrence Sequerah mengeluarkan arahan itu selepas mendengar hujahan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib dan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berhubung tindakan Najib yang memuat naik hantaran di Facebook miliknya membabitkan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Sequerah dalam penghakimannya, berkata tertuduh (Najib) tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan seolah-olah perbicaraan dilakukan di domain awam, malah, tiada sebarang kenyataan dibuat atau dikeluarkan membabitkan kes berkenaan.

Katanya, kenyataan yang dikeluarkan tertuduh secara keseluruhannya dilihat sebagai serangan kepada saksi pendakwaan.

"Bagaimanapun, pihak pendakwaan hanya memohon supaya mahkamah mengeluarkan amaran terhadap tertuduh.

"Sehubungan itu, mahkamah mengeluarkan amaran tegas supaya tertuduh tidak mengulangi tindakan itu," katanya.

Sequerah, berkata mahkamah akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memelihara integriti mahkamah.

Selasa lalu, perbicaraan kes 1Malaysia 1MDB yang bersidang semula pada hari pertama tahun 2021, bermula tegang apabila pihak pendakwaan memohon Mahkamah Tinggi mengeluarkan amaran tegas terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak berhubung hantaran di Facebook miliknya pada 29 Disember lalu.

Bagaimanapun, Muhammad Shafee memberitahu mahkamah beliau akan mengemukakan hujahan berhubung perkara itu hari ini memandangkan pihaknya hanya dimaklumkan pada Selasa pagi.

Terdahulu, Muhammad Shafee berhujah bahawa hantaran yang dibuat anak guamnya adalah respon kepada kenyataan Zeti dalam dua artikel yang diterbitkan secara dalam talian.

"Kedua-dua kenyataan itu diterbitkan pada 3 Julai 2018 dan 16 September 2019.

"Bukan anak guam saya yang memulakannya, sebaliknya ia dilakukan oleh Zeti," katanya.

Ahmad Akram, bagaimanapun, berhujah bahawa Zeti disenaraikan sebagai saksi ke-26 pendakwaan dan perkara itu dimaklumkan kepada mahkamah sejak 2019.

Katanya, tertuduh mengetahui bahawa Zeti adalah saksi pendakwaan dan menyerang kredibiliti serta karakternya.

Objektif dan niat tertuduh adalah jelas, beliau mahu menunjukkan bahawa Zeti adalah saksi yang tidak boleh dipercayai sebelum memberi keterangan.

"Tertuduh melakukan perkara itu dengan menyerang reputasinya serta mempersoalkan ketepatan kenyataannya. Taktik menakut-nakuti seperti ini adalah tindakan menghina mahkamah," katanya.

Najib, 67, didakwa atas empat tuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Sebelum ini, kes 1MDB ditangguhkan empat bulan akibat COVID-19, bagaimanapun, perbicaraan disambung dengan mendengar keterangan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Mohd Hazem Abd Rahman, 47.

Perbicaraan bersambung 8 Februari ini.

Berita Harian X