Khamis, 7 Januari 2021 | 11:58am
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor (dua kanan) mendengar penerangan daripada petugas kesihatan sempena Kempen Pembudayaan Norma Baharu Peringkat Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.- Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor (dua kanan) mendengar penerangan daripada petugas kesihatan sempena Kempen Pembudayaan Norma Baharu Peringkat Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.- Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman

Penguatkuasaan SOP feri Langkawi ditingkatkan

ALOR SETAR: Kerajaan negeri akan meningkatkan penguatkuasaan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) perkhidmatan feri ke Langkawi bagi mengelak berlakunya penularan COVID-19.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata ini berikutan terdapat individu yang bertindak menanggalkan pelitup muka berada di dalam feri dan tidak mematuhi SOP semasa menaiki perkhidmatan awam itu.

"Saya telah bincang dengan EXCO Pengangkutan, Azman Nasrudin untuk memberi perhatian serius mengenai perkara ini, Kementerian Pengangkutan sendiri pun sudah ada SOP untuk kenderaan awam khususnya feri.

"Perkara ini perlu dikuatkuasa kerana isunya apabila duduk dalam feri tidak ada penguatkuasa yang boleh pantau sama ada penumpang feri patuh atau tidak patuh SOP. Saya juga berbincang dengan EXCO Pelancongan, Mohd Firdaus Ahmad untuk melipat ganda usaha pematuhan SOP di Langkawi," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas penularan kes COVID-19 di negeri ini yang semakin meningkat selepas rentas negeri dibenarkan pada awal Disember lalu, selain peningkatan kedatangan pelancong ke Langkawi, baru-baru ini.

Muhammad Sanusi, berkata menerusi data Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), trend peningkatan itu berlaku kerana ramai penduduk di kawasan zon merah pulang ke kampung halaman masing-masing dan tidak membudayakan norma baharu.

Katanya, cadangan sekatan rentas negeri itu turut perlu mengambil kira keperluan orang ramai setelah sekian lama tidak berjumpa ibu bapa dan saudara mara dan bercuti.

"Hendak rentas negeri itu tiada masalah, menjadi masalahnya apabila ada yang tidak mematuhi SOP sehingga mendatangkan risiko kepada orang lain terutamanya mereka berisiko tinggi,"katanya.

Terdahulu, Muhammad Sanusi Md Nor ditemui selepas Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Kedah dan Majlis Pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu Peringkat Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Berita Harian X