Khamis, 7 Januari 2021 | 11:03am
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. - Foto BERNAMA
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. - Foto BERNAMA

Kerajaan akan pinda akta berkaitan pensijilan halal

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meminda akta berkaitan pensijilan halal, selain melaksanakan pendigitalan kod bar produk makanan halal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, melalui Facebook rasminya hari ini berkata pindaan itu dibuat bertujuan mengelak berlakunya pertindihan dalam akta berkaitan halal, selain memperkemas undang-undang sedia ada.

Sebelum ini, timbul desakan supaya akta sedia ada disemak dan diselaras bagi memastikan agensi kerajaan berkaitan khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mendapat lebih peruntukan kuasa dalam melaksanakan undang-undang berkaitan isu halal di negara ini.

Gesaan itu timbul susulan pendedahan mengenai kegiatan kartel mendalangi penyeludupan daging import dari negara sumber tidak sah termasuk diragui status halal, selain penipauan berkaitan logo halal.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata sehingga 31 Disember lalu, JAKIM mengiktiraf 84 logo halal daripada 46 negara di seluruh dunia, bagi membantu pengguna untuk lebih berhati-hati mengenal pasti logo pada produk import yang dijual di pasaran.

Pada masa sama, katanya ia memberi kemudahan kepada pengimport untuk mengenal pasti produk yang ingin dibawa masuk ke negara ini melalui pemilikan sijil halal yang diiktiraf JAKIM bagi mengelak kerugian dan keraguan.

"Rakyat Malaysia terutamanya umat Islam yang akan melancong ke luar negara juga boleh menyimpan di telefon pintar maklumat mengenai logo halal yang diiktiraf JAKIM, di negara yang akan dikunjungi.

"Pengguna juga boleh muat turun dalam format pdf senarai logo halal luar negara yang diiktiraf JAKIM dengan klik https://bit.ly/38lkPAz," katanya.

Berita Harian X