Rabu, 6 Januari 2021 | 8:33pm

COVID-19: KKM rangka strategi baharu kekang penularan

PUTRAJAYA: Kerajaan sedang menilai strategi baharu bagi menangani peningkatan kes baharu COVID-19, susulan kes harian berada dalam lingkungan empat angka sejak 31 Disember lalu.

Menyifatkan Kementerian Kesihatan (KKM) berdepan cabaran getir ketika ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata strategi baharu itu akan mengambil kira keadaan jangkitan semasa mengikut negeri serta melindungi kumpulan rentan dan negeri yang dikategorikan sebagai hijau seperti Sarawak dan Perlis.

Pengenalan strategi yang dipakai secara menyeluruh mungkin tidak lagi berkesan dalam menangani peningkatan kes jangkitan COVID-19 di negara ini.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA

"Saya fikir, kami (kerajaan) sedang cuba memuktamadkan pelaksanaan strategi dengan melihat kepada kluster sedia ada dan kes di setiap negeri sebelum tindakan diambil.

"Ia lebih kepada pendekatan bersasar berbanding pelaksanaan di seluruh negara seperti yang kita lakukan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac tahun lalu.

"Perbincangan sedang berjalan dan kerajaan akan membuat keputusan secepat mungkin," katanya pada sidang media hari ini.

Selain itu, beliau berkata, negara memerlukan sekatan pergerakan (circuit breaker) bagi mengawal penularan kes COVID-19 di negara ini.

Dr Noor Hisham berkata, keputusan memberi kelonggaran merentas sempadan pada 7 Disember lalu dilihat menjadi punca peningkatan mendadak kes positif COVID-19 ketika ini. Peningkatan kes dijangka terus berlaku hingga dua minggu lagi selepas sambutan Tahun Baharu Cina.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengkaji semula strategi yang dilaksanakan sejak 14 Oktober lalu.

"Memang membimbangkan KKM dengan trend terkini peningkatan kes walaupun kita mampu mengelak lonjakan hingga 4 juta kes, tetapi tidak berjaya menurunkan kadar kebolehjangkitan kepada 0.5," katanya.

Berita Harian X