Rabu, 6 Januari 2021 | 6:24pm
Saksi ke-10 pendakwaan yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Mohd Hazem Abd Rahman, hadir ketika perbicaraan kes 1MDB membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Saksi ke-10 pendakwaan yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Mohd Hazem Abd Rahman, hadir ketika perbicaraan kes 1MDB membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Tidak tahu 1MDB terbabit aktiviti haram - Saksi

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Mohd Hazem Abd Rahman, menegaskan beliau tidak akan menerima sebarang jawatan di syarikat itu sekiranya mengetahui ia terbabit dalam aktiviti haram.

Bagaimanapun Mohd Hazem, 47, dalam keterangannya memberitahu bahawa beliau mengetahui perkara itu daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low bahawa penubuhan 1MDB adalah bagi manfaat UMNO.

Saksi ke-10 pihak pendakwaan itu berkata perkara itu dimaklumkan pada perjumpaan pertama dengan Jho Low di Hotel Shangri-La, Putrajaya, sebelum menyertai 1MDB.

Ketika ditanya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Datuk Seri Najib Razak, sama ada beliau menyedari bahawa terdapat "sesuatu yang tidak betul" dengan pengurusan 1MDB, Mohd Hazem menjawab: "Ya"

Mohd Hazem: "Saya menyedari 1MDB mempunyai kaitan politik, di mana ia akan digunakan untuk mendapatkan dana.

Muhammad Shafee: Anda sedar bahawa perkara itu (mengumpul dana) adalah bertentangan dengan Akta Syarikat dan tadbir urus syarikat?

Mohd Hazem: Saya tidak tahu bagaimana 1MDB akan digunakan untuk mengumpul dana. Saya ada beberapa tekaan dan jangkaan.

Muhammad Shafee: Anda fikir ia seperti tawaran kontraktor dan subkontraktor yang akan diberikan kepada syarikat UMNO?

Mohd Hazem: Ya.

Muhammad Shafee: Anda ada melihat bukti bahawa wang yang dicuri daripada 1MDB diberikan kepada UMNO?

Mohd Hazem: Tidak ketika saya memegang jawatan di 1MDB.

Bagaimanapun, menurut Mohd Hazem, sepanjang memegang jawatan itu terlalu banyak kebimbangan yang timbul berhubung perbelanjaan 1MDB.

Namun katanya, bekas Setiausaha Sulit Najib, Allahyarham Datuk Azlin Alias meyakinkan beliau bahawa wang itu akan dikembalikan kepada 1MDB.

Terdahulu, pada prosiding di sebelah pagi, Mohd Hazem enggan mengaitkan Goldman Sachs dengan penyelewengan wang 1MDB berhubung pengeluaran bon oleh 1MDB Energy (Langat) Ltd.

Sebaliknya, ketika dicadangkan Muhammad Shafee bahawa Goldman Sachs bekerjasama dengan Jho Low dan pihak dalaman 1MDB, Muhd Hazem menjawab: "Saya tidak boleh komen mengenai itu."

Terdahulu, Muhammad Shafee mencadangkan bahawa terdapat konspirasi jenayah yang sangat canggih oleh orang dalam untuk menipu 1MDB dan Goldman Sachs adalah dalang terbesar.

Mendengar cadangan itu, Mohd Hazem seakan mengiyakannya.

"Saya percaya perkara itu berdasarkan beberapa laporan," katanya.

Najib, 67, didakwa atas empat tuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Berita Harian X