Rabu, 6 Januari 2021 | 1:18pm
Komander Hospital Medan ATM, Kolonel Dr Shamsul Bahary Muhamad menyampaikan cendera kenangan kepada Pengarah Hospital Tawau, Dr Norlimah Arsad, sambil disaksikan Brig Jen Abdul Razak Hussain (tengah). - Foto NSTP/ Abdul Rahemang Taiming
Komander Hospital Medan ATM, Kolonel Dr Shamsul Bahary Muhamad menyampaikan cendera kenangan kepada Pengarah Hospital Tawau, Dr Norlimah Arsad, sambil disaksikan Brig Jen Abdul Razak Hussain (tengah). - Foto NSTP/ Abdul Rahemang Taiming

Hospital Medan ATM tamat operasi di Tawau hari ini

TAWAU: Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Tawau secara rasminya menamatkan operasinya hari ini, selepas tiga bulan beroperasi, .

Sepanjang tempoh operasi sejak 20 Oktober tahun lalu, lebih 1,366 pesakit daripada pelbagai disiplin menerima manfaat perkhidmatan perawatan dan perubatan disediakan di hospital itu.

Panglima Markas ke-13 Briged Infantri Malaysia, Brig Jen Abdul Razak Hussain, berkata Hospital Medan ATM di Tawau juga menempa sejarah baharu menjadi Hospital Medan pertama ATM menyediakan wad multidisiplin 100 katil, selain turut menyediakan perkhidmatan Wad Onkologi.

Beliau berkata, pengoperasian itu manifestasi hasrat kerajaan seperti digariskan dalam Dokumen Majlis Keselamatan Negara (MKN) 20 berkenaan bantuan ATM kepada pihak berkuasa awam dalam operasi mengawal bencana.

"Hospital Medan ATM berjaya melaksanakan objektif digariskan bagi membantu Hospital Tawau merawat kes bukan COVID-19.

"Keberadaan dan keupayaan pasukan pembedahan ATM juga mengurangkan tempoh menunggu pesakit kes kanser di Pantai Timur Sabah untuk menjalani pembedahan kuratif dan paliatif.

"Perkhidmatan Wad Onkologi memastikan perawatan kes kanser untuk tujuan kemoterapi dan rawatan paliatif dilaksanakan mengikut perancangan Pakar Onkologi, sekali gus kebajikan pesakit mendapat perhatian sewajarnya walaupun sewaktu pandemik COVID-19," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Hospital Medan ATM antara Komandernya, Kolonel Dr Shamsul Bahary Muhamad dan Pengarah Hospital Tawau, Dr Norlimah Arsad.

Mengulas lanjut, beliau berkata penamatan operasi Hospital Medan ATM berikutan trend dan statistik jangkitan wabak COVID-19 di daerah Tawau yang kini mencatatkan penurunan berbanding tiga bulan pertama iaitu bermula November yang merekodkan kes tinggi dengan tiga angka.

"Dengan penamatan ini juga, ATM boleh menumpukan penugasan di negeri lain di Semenanjung termasuk negeri yang ketika ini berdepan bencana banjir," katanya.

Sementara itu, Dr Norlimah mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada ATM dan semua agensi terbabit atas bantuan diberikan sepanjang operasi Hospital Medan ATM di sini.

Katanya, kejayaan operasi di Tawau hasil kolaborasi antara agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

Berita Harian X