Selasa, 5 Januari 2021 | 2:04pm
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana 1MDB - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana 1MDB - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim

Pendakwaan mohon mahkamah keluar amaran terhadap Najib

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang bersidang semula di Mahkamah Tinggi, di sini pada hari pertama tahun ini bermula tegang apabila pihak pendakwaan memohon mahkamah mengeluarkan amaran tegas terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Amaran itu berikutan tindakan Najib yang memuat naik hantaran di laman Facebook miliknya membabitkan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Terdahulu sebaik prosiding bermula kira-kira jam 9.57 pagi, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram memberitahu mahkamah, Ahli Parlimen Pekan, itu pada 29 Disember lalu melancarkan pembelaannya menerusi hantaran di Facebook.

"Tindakan Najib itu mengganggu perjalanan kes memandangkan saksi dalam kes ini diserang oleh tertuduh sehingga memaksa beliau (Zeti) mengeluarkan kenyataan balas.

"Perbicaraan kes ini seharusnya dijalankan di hadapan mahkamah dan bukannya menerusi media sosial," katanya.

Tambah Sri Ram, ini bukan kali pertama Najib memuat naik hantaran sedemikian.

"Sebelum ini, mahkamah menerima penjelasan beliau berhubung tindakannya, namun kini Najib melakukan perkara itu sekali lagi.

"Pihak pendakwaan tidak mahu membuat permohonan untuk menarik balik jaminan yang dikenakan terhadap tertuduh, bagaimanapun, kami memohon mahkamah mengeluarkan amaran keras supaya tidak melakukan perkara itu terhadap saksi kami," katanya.

Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, berkata anak guamnya diletakkan dalam keadaan yang sukar.

Katanya, semua pihak boleh membuat sebarang kenyataan mengenai Najib, namun, anak guamnya hanya boleh berdiam diri.

"Ia seolah-olah meletakkan Najib di gelanggang perlawanan dengan tangan diikat... beliau perlu menerima apa saja yang dilemparkan kepadanya tetapi tidak boleh melawan," katanya

Shafee berkata Najib hanya mahu Zeti menjawab tuduhan dibangkitkan Raja Petra Kamaruddin dan portal Free Malaysia Today (FMT) berhubung dakwaan ahli keluarga Zeti menerima wang berjumlah lebih RM100 juta daripada ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low.

Bagaimanapun, Shafee memberitahu mahkamah beliau akan mengemukakan hujahan berhubung perkara itu Khamis ini memandangkan pihaknya hanya dimaklumkan pagi tadi.

Pada prosiding itu juga, mahkamah turut menolak permohonan Shafee supaya perbicaraan esok dilapangkan bagi membolehkan Najib melawat kawasan Pekan yang teruk dilanda banjir.

Najib, 67, didakwa atas empat tuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Berita Harian X