Selasa, 5 Januari 2021 | 11:00am
Keadaan di salah sebuah PPS di Dungun sebelum ditutup pada pagi ini. - NSTP/Foto ihsan APM TERENGGANU
Keadaan di salah sebuah PPS di Dungun sebelum ditutup pada pagi ini. - NSTP/Foto ihsan APM TERENGGANU

Banjir di Dungun pulih sepenuhnya

KUALA TERENGGANU: Banjir di daerah Dungun pulih sepenuhnya apabila semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, pagi ini.

Ia susulan penutupan tiga pusat pemindahan sementara (PPS), iaitu Dewan Orang Ramai (DOR) Kampung Pasir Raja, Dewan Serbaguna Kampung Shukor dan DOR Kampung Minda, jam 10 pagi tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, berkata 154 mangsa daripada 45 keluarga di Dungun dibenarkan pulang ke rumah masing-masing secara berperingkat selepas banjir mulai surut.

Ketika ini, beliau berkata, hanya daerah Kemaman masih terjejas membabitkan 920 mangsa daripada 285 keluarga yang ditempatkan di sembilan PPS.

"Sembilan PPS itu ialah DOR Teladas, Surau Kampung Ban Ho, Sekolah Kebangsaan Lembah Jabor, Dewan Sivik Air Putih, Surau Haji Othman, Masjid Tebak Batu 16, DOR FELDA Seberang Tayor, DOR Pasir Gajah dan Balai Raya Padang Kemunting," katanya.

Berita Harian X