Selasa, 5 Januari 2021 | 10:22am

Hampir 4 bulan tangguh, perbicaraan kes Najib bersambung semula

KUALA LUMPUR: Selepas hampir empat bulan ditangguhkan, perbicaraan kes Datuk Seri Najib Razak berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kembali berlangsung di Mahkamah Tinggi, pagi ini.

Perbicaraan kes bekas Perdana Menteri di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah itu akan bersambung dengan saksi pendakwaan ke-10, iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman, disoal balas peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pembelaan.

Mohd Hazem, 47, mula memberi keterangan pada 14 September tahun lalu.

Najib, 67, didakwa atas empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB, dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Mahkamah menetapkan 4 hingga 7 Januari ini, 25 - 27 Januari; 2 hingga 4 Februari, 8 - 11 Februari, 15 - 18 Februari; 5 - 8 April, 19 - 22 April, 26 - 28 April; 3 - 6 Mei, 17 - 20 Mei, 24 - 27 Mei; 1 - 3 Jun, 8 - 10 Jun, 21 - 24 Jun, 28 - 30 Jun; dan 5 - 8 Julai untuk perbicaraan kes itu.

Sebelum ini, petugas media dikehendaki mengambil pas khas untuk memasuki mahkamah terbuka dan dua bilik video dikenali sebagai 'video link' yang memaparkan perbicaraan secara langsung.

Namun sejak pandemik COVID-19 melanda pada Mac tahun lalu, pihak pengurusan mahkamah mengehadkan jumlah media bagi mahkamah terbuka dan bilik video kepada masing-masing 10 orang. – BERNAMA

Najib ketika hadir di Mahkamah Tinggi, hari ini. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Najib ketika hadir di Mahkamah Tinggi, hari ini. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Berita Harian X