KUALA TERENGGANU: Mangsa banjir di daerah Dungun dan Kemaman di Terengganu tidak banyak menunjukkan perubahan apabila seramai 1,074 masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).
Sehingga jam 8 pagi tadi, semua mangsa daripada 330 keluarga itu ditempatkan di 12 PPS.
Semalam, seramai 1,077 mangsa daripada 335 keluarga dipindahkan ke 10 PPS di daerah Dungun dan Kemaman.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, berkata Kemaman masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 920 mangsa daripada 285 keluarga yang ditempatkan di sembilan PPS.
Katanya, di Dungun, jumlah mangsa menunjukkan sedikit pengurangan berbanding petang semalam.
"Setakat ini, tiga PPS dibuka bagi menempatkan 154 mangsa daripada 45 keluarga di Dungun.
"Semalam, seramai 200 mangsa daripada 61 keluarga ditempatkan di tiga PPS iaitu di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja, Dewan Serba guna Kampung Shukor dan Dewan Orang Ramai Kampung Minda.
"Keadaan cuaca ketika ini hujan renyai namun ada kalanya lebat serta berangin di sebelah pantai," katanya.
Sementara itu, berdasarkan laporan infobanjir.water.gov.my, hanya Sungai Kemaman di stesen Paya Paman melepasi paras bahaya dengan mencatatkan bacaan 4.39 meter dan menunjukkan trend menaik.