Isnin, 4 Januari 2021 | 5:07pm
Seorang mangsa banjir di hadapan rumahnya yang dinaiki air di Kuala Kaung, Lanchang. - Foto AFP
Seorang mangsa banjir di hadapan rumahnya yang dinaiki air di Kuala Kaung, Lanchang. - Foto AFP

Banjir di 6 negeri, lebih 20,000 mangsa dipindahkan

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di enam negeri meningkat kepada 20,107 terutama di Pahang, Perak dan Kelantan manakala Terengganu dan Johor mencatatkan sedikit penurunan sehingga jam 4 petang tadi.

Di Pahang, mangsa banjir terus meningkat dengan 10,739 mangsa ditempatkan di 201 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sembilan daerah dengan Kuantan masih menjadi daerah paling teruk terjejas.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kuantan masih menjadi daerah paling teruk terjejas banjir dengan 3,276 orang dipindahkan, diikuti Maran (1,895), Raub (1,493), Jerantut (1,259), Lipis (1,119), Rompin (742), Temerloh (605) Bentong (215) dan Pekan (135).

Sementara itu, 10 sungai negeri itu masih melebihi paras bahaya iaitu Sungai Jelai di Jeram Bungor dan di Kuala Medang, Lipis; Sungai Tembeling di Kuala Tahan dan Sungai Pahang di Sungai Yap di Jerantut, serta tiga sungai di Kuantan iaitu Sungai Kuantan di Pasir Kemudi, Sungai Kuantan di Pintasan Kuantan serta Sungai Lepar di Jambatan Gelugor.

Turut melebihi paras bahaya adalah Sungai Lipis di Batu Malim, Raub; Kuala Sungai Chini dan Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir di PPS di Gua Musang meningkat tengah hari ini kepada 322 orang daripada 78 keluarga berbanding 296 orang daripada 73 keluarga pagi tadi.

Menurut aplikasi Info Bencana JKM, ketika ini terdapat penambahan satu PPS yang dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi 2 berbanding hanya dua PPS yang diaktifkan pada pagi tadi.

Mengikut laporan infobanjir.water.gov.my setakat ini, paras Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang merekodkan bacaan melepasi paras bahaya iaitu 60.55 meter (bahaya 59m).

Di Perak, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 894 orang berbanding 615 pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata di daerah Hilir Perak, seramai 124 mangsa kini ditempatkan di PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap, 101 mangsa di PPS Dewan MPTI Teluk Intan, 129 mangsa di Dewan Serbaguna Chikus dan 29 mangsa di PPS Dewan Kampung Tanjung Keramat, Langkap.

"Semua mangsa adalah penduduk di Kampung SC Ayer Hitam, Kampung Tengah Ayer Hitam, Kampung Belt Parit 1-8, Kampung Sungai Rambai, Kampung Batu Pecah, Kampung Belakang Kedai Degong dan Pekan Chikus yang terjejas akibat banjir," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, di daerah Kampar pula jumlah mangsa banjir kekal iaitu 27 penduduk Kampung Batu 20 masih berada di dewan kampung itu manakala 26 mangsa dari Kampung Pasir Kuala Dipang juga masih di PPS Dewan Dato Azman Mahalan.

Di daerah Muallim pula terdapat tiga PPS ditutup iaitu PPS Kampung Pauh di Tanjung Malim, Dewan Kampung Pasir dan Surau An-Nur Hidayah, Ulu Slim namun terdapat 458 mangsa di lima PPS di Slim River.

Penduduk setempat, Mahani Zakaria, 69, menyusun barangan di rumahnya yang terjejas akibat banjir ketika tinjauan di Kampung Changkat Jong hari ini. - Foto BERNAMA
Penduduk setempat, Mahani Zakaria, 69, menyusun barangan di rumahnya yang terjejas akibat banjir ketika tinjauan di Kampung Changkat Jong hari ini. - Foto BERNAMA

Di Terengganu, situasi semakin baik apabila berlaku penurunan jumlah mangsa ditempatkan di PPS iaitu seramai 645 orang daripada 169 keluarga berbanding 815 orang daripada 207 keluarga, pada jam 2 petang tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata daerah yang terjejas banjir kekal dua iaitu di Kemaman dan Dungun, dengan tujuh PPS masih dibuka.

"Di Kemaman, jumlah mangsa menurun kepada 445 orang daripada 108 keluarga manakala di Dungun pula, mangsa seramai 200 orang daripada 61 keluarga," katanya.

Setakat ini, Terengganu masih dilanda hujan renyai dan kadangkala lebat terutama di daerah Kemaman.

Situasi sama turut berlaku di Johor, dengan jumlah mangsa banjir menurun kepada 6,991 orang setakat jam 2 petang berbanding 7,112 orang yang direkodkan pada 8 pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata Kluang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi seramai 2,376 orang, diikuti Kota Tinggi 2,029 mangsa dan Johor Bahru 1,279 mangsa.

"Sebanyak 68 PPS dibuka dengan 20 di Kota Tinggi, Kluang (19), Johor Bahru (10), Mersing (enam), Kulai (lima), Segamat dan Pontian, masing-masing tiga dan dua di Batu Pahat," kata beliau dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut Jabatan Kerja Raya Johor (JKR), setakat ini beberapa jalan persekutuan dan jalan negeri ditutup untuk semua kenderaan berikutan banjir di daerah Kota Tinggi.

Jalan berkenaan ialah Jalan Kota Tinggi-Mersing (Kubu), Jalan Kota Tinggi-Mersing (Batu 16), Jalan Kota Tinggi-Mersing (Risda), Jalan Kota Tinggi-Kluang (Arked Mara), Jalan Lok Heng/Mawai/Sungai Mas (Jambatan Sungai Semalok), Jalan Tai Hong, Jalan Tai Hong (rumah kampung), Jalan Tun Sri Lanang, Jalan Semanggar (jambatan), Jalan Mawai Lama, Jalan Kampung Kelantan/Kampung Panti dan Jalan Sungai Telor. – BERNAMA

Keadaan rumah penduduk di Taman Slim Permai yang dilanda banjir akibat daripada air sungai Slim River yang melimpah berikutan hujan tidak berhenti sejak awal pagi hingga ke tengah malam tadi. - NSTP/Sharul Hafiz Zam
Keadaan rumah penduduk di Taman Slim Permai yang dilanda banjir akibat daripada air sungai Slim River yang melimpah berikutan hujan tidak berhenti sejak awal pagi hingga ke tengah malam tadi. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Berita Harian X