Isnin, 4 Januari 2021 | 2:56pm
Keadaan kawasan kampung dan jalan di Kampung Kuala Slim dilanda banjir akibat limpahan air Sungai Bernam - Foto NSTP/Rosman Shamsudin
Keadaan kawasan kampung dan jalan di Kampung Kuala Slim dilanda banjir akibat limpahan air Sungai Bernam - Foto NSTP/Rosman Shamsudin

46 penduduk Kampung Kuala Slim dipindahkan

SLIM RIVER: Seramai 46 mangsa banjir di kawasan Kuala Slim dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Slim, pagi tadi.

Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kuala Slim, Shukeri Radzi Md Said, berkata kawasan itu membabitkan Kampung Kuala Slim, Kampung Jaya dan Kampung Tengah.

Katanya, hujan lebat semalam menyebabkan air dari Sungai Bernam melimpah ke kawasan kampung.

Beliau berkata kawasan Jalan Slim River ke FELDA Besout dekat Kampung Kuala Slim juga dinaiki air menyebabkan jalan ke pekan terputus sementara semalam.

"Pemindahan membabitkan tujuh keluarga dan semua mangsa dipindahkan ke PPS bagi memastikan keselamatan penduduk kampung.

"Pihak kami akan terus memantau di kawasan dekat sungai kerana walaupun belum hujan lagi pagi ini, cuaca masih redup dan khuatir hujan di kawasan hulu sungai," katanya.

Beliau berkata penduduk diminta sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak terutama kanak-kanak daripada bermain air di kawasan banjir.

Berita Harian X