KUALA TERENGGANU: Jumlah mangsa banjir di Terengganu yang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara, berkurangan daripada 804 orang pada sebelah pagi kepada 645 orang sehingga jam 2 petang tadi.
Semua 645 mangsa daripada 169 keluarga itu membabitkan penduduk daerah Dungun dan Kemaman. Ia berkurangan daripada 804 mangsa daripada 205 keluarga yang dipindahkan ke sembilan pusat pemindahan pada sebelah pagi tadi.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, berkata Kemaman masih merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi dengan 445 penduduk daripada 108 keluarga.
"Mereka dipindahkan ke empat pusat pemindahan sehingga jam 2 petang tadi. Jumlah itu berkurangan berbanding pagi tadi yang merekodkan 609 mangsa daripada 145 keluarga dipindahkan ke enam pusat pemindahan.
"Di Dungun, tiga pusat pemindahan diaktifkan bagi menempatkan 200 mangsa daripada 61 keluarga," katanya.
Beliau berkata, keadaan cuaca ketika ini hujan renyai, namun adakalanya lebat dan berangin di sebelah pantai.
Sementara itu, berdasarkan laporan infobanjir.water.gov.my, dua sungai yang sebelum ini melepasi paras bahaya, mulai menunjukkan trend penurunan apabila berada pada paras amaran.
Sungai Dungun di Kuala Jengai, Dungun kini berada paras amaran dengan bacaan 20.99 meter (m) berbanding paras normal 14m. Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman merekodkan bacaan 18.23m, juga paras amaran.