Isnin, 4 Januari 2021 | 12:48pm
PENDUDUK Taman Slim Permai meredah banjir malam tadi membawa barang-barang yang sempat diselamatkan. - Foto SHARUL HAFIZ ZAM
PENDUDUK Taman Slim Permai meredah banjir malam tadi membawa barang-barang yang sempat diselamatkan. - Foto SHARUL HAFIZ ZAM

Banjir di Slim River: Warga emas hanya sempat selamatkan 2 kucing

SLIM RIVER: "Saya hanya sempat selamatkan dua kucing, barang-barang rumah semua musnah dalam banjir," kata Mohd Adnan Hussin, 74.

Penduduk Taman Slim Permai, dekat sini, berkata banjir malam tadi adalah yang paling teruk dan tidak dijangka.

"Air mula naik kira-kira jam 7.30 malam, saya ingatkan tidak akan sampai sehingga dalam rumah. Namun, pada jam 9 malam, air mula masuk ke dalam rumah dengan deras menyebabkan saya tidak sempat pindahkan barang.

"Hanya sempat selamatkan dua kucing yang dibela dan terus ke kawasan lebih tinggi berdekatan Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur. Ketika itu, sudah ramai penduduk taman ini berada di situ," katanya.

MOHD Adnan Husin, 70, hanya sempat menyelamatkan kucing peliharaannya ketika banjir melanda Taman Slim Permai di Slim River, Perak, malam tadi. - Foto SHARUL HAFIZ ZAM
MOHD Adnan Husin, 70, hanya sempat menyelamatkan kucing peliharaannya ketika banjir melanda Taman Slim Permai di Slim River, Perak, malam tadi. - Foto SHARUL HAFIZ ZAM

Sementara itu, Rohaizan Ros, 41, berkata dia sekeluarga berada di Kampung Kuala Slim untuk meraikan majlis hari lahir ibunya.

"Semasa sedang menyambut hari lahir emak, tiba-tiba jiran telefon memaklumkan rumah saya sudah dimasuki air. Saya bersama isteri serta anak bergegas pulang dan apabila sampai, rumah sudah dipenuhi air, semua barang tenggelam," katanya.

Seorang lagi penduduk, Shahrizan Abdul Hamid, 36, sedang membantu mangsa banjir di Kampung Kuala Slim apabila menerima panggilan telefon daripada jiran memaklumkan kawasan taman perumahan mereka juga dilanda banjir.

Tinjauan di Taman Slim Permai pagi ini mendapati sebahagian penduduk sudah pulang ke rumah, manakala bakinya masih berada di pusat pemindahan sementara di Pejabat Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Daerah Muallim.

Sebahagian kawasan perumahan masih lagi digenangi air dan penduduk yang dibenarkan pulang sibuk membersihkan barang yang masih boleh digunakan.

Pengarah Hospital Slim River (HSR), Dr S Sivanandarajah dan Yang Dipertua Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM), Faizal Nizam Md Nor turut meninjau kawasan banjir terbabit.

Berita Harian X