Isnin, 4 Januari 2021 | 8:03am
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun

Satu lagi kluster majlis sosial sempena Krismas di Sabah

KOTA KINABALU: Satu lagi kluster COVID-19 membabitkan majlis sosial sempena sambutan Krismas direkodkan di Sabah, menjadikan dua kluster berkaitan perayaan itu setakat ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kluster itu yang merekodkan tiga kes semalam dengan kumulatif 15 kes setakat ini dikenali sebagai Lintas Seraya yang berlaku di sebuah restoran di Lintas, dekat sini.

"Pada hari ini, satu kluster baharu dilaporkan di Kota Kinabalu iaitu Kluster Lintas Seraya mencatatkan sebanyak tiga kes menjadikan jumlah kumulatif 15 kes. Ia membabitkan daerah Kota Kinabalu dan Penampang.

"Kes indeks dikenal pasti melalui saringan bergejala dan siasatan mendapati kluster ini berpunca daripada majlis sosial makan malam perayaan Krismas di sebuah restoran di Lintas," katanya dalam kenyataan media perkembangan COVID-19 Sabah, di sini, malam tadi.

Kluster pertama berkaitan sambutan perayaan itu direkodkan di Tambunan, kelmarin.

Sementara itu, Sabah merekodkan sebanyak 316 kes dengan dua kematian semalam berbanding 259 kes kelmarin, menjadikan kumulatif setakat ini sebanyak 37,869 kes.

Masidi yang juga jurucakap COVID-19 Sabah berkata, bagi kes sembuh, seramai 229 pesakit dibenarkan keluar hospital, menjadikan jumlah kumulatif sembuh 35,383 orang.

"Seramai 1,752 pesakit masih menerima rawatan iaitu 643 orang di hospital dan 1,109 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC). Bilangan pesakit dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 55 orang termasuk 14 orang memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya.

Sabah juga menyaksikan hanya tinggal tiga daerah berada dalam zon kuning iaitu Telupid, Kuala Penyu dan Beluran, manakala zon hijau kekal dua daerah iaitu Nabawan dan Tongod.

Selebihnya iaitu 16 daerah kini berada dalam zon merah, manakala lima daerah lagi dalam zon jingga.

Daerah dalam zon merah ialah Kota Kinabalu (52 kes), Lahad Datu (41), Penampang (40), Sandakan (27), Putatan (21), Tawau (21), Kota Belud (12), Keningau (11), Tuaran (sembilan), Ranau (lapan), Papar (tujuh), Kudat (tujuh), Tambunan (enam), Semporna (lima), Kinabatangan (empat), Sipitang (tiga) dan Kunak (tiada kes baharu).

Bagi zon jingga, daerahnya ialah Beaufort (12), Kota Marudu (12), Pitas (10), Tenom (enam) dan Kalabakan (satu kes).

Masidi berkata, sebanyak 239 kes atau 75.6 peratus daripada keseluruhan kes positif COVID-19 semalam berpunca daripada saringan kontak rapat, diikuti sebanyak 40 kes atau 12.7 peratus daripada saringan bergejala, manakala tujuh kes atau 2.2 peratus daripada saringan kluster baharu dan kluster sedia ada.

Berita Harian X