Sabtu, 2 Januari 2021 | 5:01pm
Penduduk Taman Bayu Perdana, Klang hadir pada saringan COVID-19 percuma anjuran kerajaan Selangor, hari ini. - Gambar NSTP/MUHD ASYRAF SAWAL
Penduduk Taman Bayu Perdana, Klang hadir pada saringan COVID-19 percuma anjuran kerajaan Selangor, hari ini. - Gambar NSTP/MUHD ASYRAF SAWAL

1,388 ditahan ingkar PKP

KUALA LUMPUR: Hari pertama 2021 semalam menyaksikan 1,388 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu, 623 individu ditahan kerana melakukan aktiviti di pusat hiburan, 424 individu kerana gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal dan 137 individu kerana tidak memakai pelitup muka.

Selain itu, 118 individu ditahan kerana gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan dan 86 lagi atas kesalahan lain.

"Seramai 1,352 individu berkenaan dikenakan kompaun, manakala 32 individu direman dan empat lagi dijamin," katanya dalam kenyataan media mengenai pelaksanaan PKP, hari ini.

Ismail Sabri berkata, Pasukan Petugas Operasi Pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat 48,316 pemeriksaan semalam, bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Katanya, sebanyak 2,435 Pasukan Pematuhan membabitkan 11,200 anggota membuat pemantauan di 3,371 pasar raya, 4,465 restoran serta 1,711 penjaja, 1,384 kilang, 3,251 bank dan 461 pejabat kerajaan.

"Turut dipantau sebanyak 911 terminal pengangkutan darat, 240 terminal pengangkutan air dan 95 terminal pengangkutan udara," katanya.

Berita Harian X