Rabu, 30 Disember 2020 | 4:47pm

Tujuh remaja dituduh rogol, seks luar tabii terhadap murid Tahun Enam

KEMAMAN: Tujuh remaja termasuk seorang penganggur berusia 19 tahun, didakwa atas tuduhan merogol seorang murid Tahun Enam, dalam sebuah rumah di Bandar Chukai di sini, awal bulan ini.

Tertuduh, Mohd Aiman Abdullah, 19, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, manakala enam remaja berusia 14 hingga 16 tahun dihadapkan ke Mahkamah Kanak-kanak Kemaman.

Sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Mahkamah Sesyen, Azman Mustapha dan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Aiman didakwa atas tiga pertuduhan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 377(b) akta sama kerana melakukan persetubuhan luar tabii pada 7 Disember.

Manakala enam juvana lagi masing-masing didakwa di antara satu hingga lima pertuduhan, termasuk rogol dan persetubuhan luar tabii mengikut akta yang sama, di antara jam 4 pagi pada 7 Disember hingga 12 tengah malam pada 8 Disember lalu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Hafizuddin Manjur Ahmad.

Ketika prosiding berlangsung, Mohd Aiman diwakili peguam bela, Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar, manakala enam lagi tertuduh diwakili peguam bela, Akmal Wahidah Abd Halim.

Selepas mempertimbangkan rayuan, mahkamah membenarkan Mohd Aiman diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin.

Manakala enam lagi tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM5,000 hingga RM10,000 setiap seorang juga dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga mengenakan syarat iaitu kesemua tertuduh dilarang mendekati mangsa, ahli keluarga termasuk saksi.

Hakim kedua-kedua mahkamah itu menetapkan 1 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Berita Harian X