Ahad, 27 Disember 2020 | 6:34pm
Anggota polis melakukan operasi pematuhan ke atas pusat hiburan melalui Op COVID-19 di Lintas Plaza di Kota Kinabalu - Foto NSTP/ Juwan Riduwan
Anggota polis melakukan operasi pematuhan ke atas pusat hiburan melalui Op COVID-19 di Lintas Plaza di Kota Kinabalu - Foto NSTP/ Juwan Riduwan

456 ingkar arahan PKPP, 57 PATI ditahan

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 456 individu kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menerusi operasi pematuhan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam, semalam.

Dalam tempoh sama, seramai 57 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan menerusi Operasi Benteng (Op Benteng) secara bersepadu membabitkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada keseluruhan yang ditahan menerusi operasi pematuhan, 421 individu dikenakan kompaun, 34 direman dan seorang dijamin.

"Sebanyak 170 individu ditahan kerana aktiviti pusat hiburan, manakala kesalahan lain direkodkan adalah gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (167) dan gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (67).

"Seramai 45 individu juga dikenakan tindakan kerana tidak memakai pelitup muka dan tujuh lagi untuk lain-lain kesalahan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sejumlah 43,077 pemeriksaan dilakukan pasukan petugas operasi pematuhan diketuai PDRM semalam.

"Sebanyak 2,349 pasukan operasi pematuhan membabitkan 10,093 anggota membuat pemantauan di 3,295 pasar raya, 4,528 restoran serta 1,457 penjaja, 1,082 kilang, 3,118 bank dan 458 pejabat kerajaan.

"Selain itu, sebanyak 966 terminal pengangkutan darat, 231 terminal pengangkutan air serta 91 terminal pengangkutan udara turut dipantau," katanya.

Mengenai Op Bentang, Ismail Sabri memaklumkan pasukan keselamatan menahan 57 PATI dan merampas tiga kenderaan darat.

"Sebanyak 114 sekatan jalan raya dilaksanakan di seluruh negara, semalam membabitkan pasukan ATM, PDRM, AKSEM serta pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan di kawasan sempadan terutamanya di lorong tikus," katanya.

Berita Harian X