Ahad, 27 Disember 2020 | 12:47pm
Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah. - Foto BERNAMA
Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah. - Foto BERNAMA

Sultan Kedah kurnia keperluan belajar

ALOR SETAR: Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan mengurniakan sembilan set bantuan keperluan belajar kepada sekolah terpilih, dalam majlis di Istana Anak Bukit di sini, hari ini.

Set keperluan belajar itu mengandungi televisyen pintar berserta kemudahan saluran TV berbayar dan komputer riba, bertujuan untuk memastikan agar sesi pembelajaran di sekolah terbabit dapat dilaksanakan dengan lebih menarik, interaktif serta selari dengan perkembangan semasa.

Menurut kenyataan Istana Anak Bukit, majlis kurniaan sumbangan itu cetusan ilham oleh Tuanku Sultan; Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin dan Tunku Laksamana Kedah, Datuk Seri Diraja Tunku Shazuddin Ariff Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin.

Kenyataan itu menyebut kurniaan itu menunjukkan keperibadian Tuanku Sultan dan keluarga Diraja baginda yang amat mementingkan kebajikan serta pendidikan rakyat di negeri ini.

Baginda amat bersimpati atas nasib dan masalah yang dihadapi oleh warga pendidik dan pelajar dalam sesi pembelajaran pada masa yang sukar ini, akibat penularan wabak COVID-19.

Sultan Sallehuddin bertitah menasihati agar warga pendidik dan pelajar tabah serta terus berusaha, walaupun dalam keadaan yang mencabar dan sukar.

"Terutama kepada warga pendidik yang boleh diibaratkan sebagai lilin yang memberikan cahaya dan menerangi jiwa para pelajar dalam membentuk seorang pemimpin pada masa hadapan," titah baginda dalam kenyataan itu.

Sultan Sallehuddin juga bertitah agar semua sekolah yang menerima bantuan set keperluan belajar itu supaya dapat menggunakan sepenuhnya kemudahan yang dikurniakan bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran.

Baginda turut menggalakkan penyertaan syarikat korporat, konglomerat, pertubuhan serta individu untuk turut membantu warga pendidik dan pelajar dengan memberi bantuan dalam menaik taraf kemudahan pembelajaran.

Pada majlis sama, Raja Muda Kedah turut menyumbang sejumlah beg dan pakaian sekolah kepada sembilan pegawai Pejabat Pendidikan Daerah di negeri ini, untuk disampaikan kepada sekolah dan pelajar yang memerlukan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Ahmad Shukri Shafie, menjunjung setinggi-tinggi kasih ke hadapan Tuanku Sultan atas kurniaan itu.

"Kami amat terharu atas keprihatinan baginda Tuanku Sultan Kedah serta keluarga Diraja baginda kerana memahami keperluan warga pendidik dan pelajar dalam meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran dalam situasi mencabar ini," katanya.

– BERNAMA

Berita Harian X