Sabtu, 26 Disember 2020 | 5:10pm
Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) mengawasi sempadan negara melalui Ops Benteng bertujuan mengekang jenayah rentas sempadan dan penularan wabak COVID-19. - Foto NSTP
Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) mengawasi sempadan negara melalui Ops Benteng bertujuan mengekang jenayah rentas sempadan dan penularan wabak COVID-19. - Foto NSTP

Op Benteng: 35 PATI ditahan, 3 kenderaan dirampas

KUALA LUMPUR: Seramai 35 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan menerusi Operasi Benteng (Op Benteng) semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tiga kenderaan darat turut dirampas dalam operasi bertujuan mengekang jenayah rentas sempadan dan penularan wabak COVID-19 itu.

Beliau berkata, sejumlah 115 sekatan jalan raya (SJR) diadakan semalam membabitkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

"Ia membabitkan 43 SJR dilaksanakan ATM, PDRM dan RELA menerusi Op Penawar, selain 63 menerusi Op Benteng PDRM dan sembilan menerusi Op Benteng AKSEM," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut melaksanakan 23 operasi sanitasi di lima negeri serta Putrajaya, semalam.

"Operasi meliputi lapan Zon Merah, empat Zon Jingga, lima Zon Kuning dan satu di Zon Hijau.

"Sebanyak 11 operasi dilakukan di Sabah, masing-masing empat operasi di Johor dan Melaka, dua operasi di Terengganu dan satu di Kelantan dan Putrajaya," katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan seramai 92,607 individu yang pulang dari luar negara melalui pintu masuk antarabangsa menjalani kuarantin wajib sejak 24 Julai lalu sehingga semalam.

Daripada jumlah itu, seramai 7,206 individu sedang menjalani proses kuarantin, manakala 536 individu dihantar ke hospital untuk rawatan dan seramai 84,865 individu lagi dibenarkan pulang.

Berita Harian X