Jumaat, 25 Disember 2020 | 6:01pm
Dua anggota polis beramah mesra dan menasihati beberapa pengunjung supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa mengunjungi Pantai Teluk Cempedak sempena cuti umum perayaan Krismas, hari ini.Orang ramai dinasihatkan mengamalkan penjagaan kesihatan yang tinggi serta mematuhi SOP yang digariskan ketika melakukan sebarang aktiviti luar bagi mengekang penularan COVID-19 di negara ini. - Foto BERNAMA

PKPP: Polis tahan 246 langgar SOP

KUALA LUMPUR: Seramai 246 individu ditahan di atas pelbagai kesalahan yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di seluruh negara, semalam.

Daripada jumlah itu, seramai 236 individu dikenakan kompaun manakala 10 lagi individu ditahan reman.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata seramai 91 orang ditahan kerana terbabit dengan aktiviti pusat hiburan.

"Seramai 84 individu ditahan kerana gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan dan 44 individu ditahan kerana tidak memakai pelitup muka.

"Selain itu, seramai 23 individu turut ditahan kerana gagal mematuhi penjarakan fizikal dan empat lagi kerana lain-lain kesalahan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, pasukan petugas Operasi Pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan sebanyak 44,501 pemeriksaan untuk memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKPP, semalam.

"Sebanyak 2,955 pasukan pematuhan membabitkan 13,431 anggota membuat pemantauan di 5,744 pasar raya, 4,871 restoran serta 1,851 penjaja, 1,405 kilang, 3,256 bank dan 636 pejabat kerajaan.

"Pemantauan turut dibuat ke atas 968 terminal pengangkutan darat, 276 terminal pengangkutan air serta 85 terminal pengangkutan udara," katanya.

Berita Harian X