Jumaat, 25 Disember 2020 | 5:50pm
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Abdul Aziz Jusoh. - Foto ARKIB NSTP
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Abdul Aziz Jusoh. - Foto ARKIB NSTP

Penjelasan JAKIM mengenai ucapan perayaan pada produk

PUTRAJAYA: Ucapan perayaan dibenarkan pada produk sekiranya ia dibuat bukan dengan tujuan dipamerkan dalam premis yang dipersijilkan halal atau pada produk yang ditandakan dengan logo halal.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Abdul Aziz Jusoh, berkata tiada peruntukan yang menyentuh mengenai sambutan apa-apa perayaan termasuk perayaan Islam dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020.

"Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 dan Sistem Pengurusan Halal Malaysia (MHMS) hanya terpakai bagi pemohon dan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini, merujuk laporan sebuah portal bahawa sebuah kedai kek menolak permintaan seorang pelanggan untuk menulis ucapan 'Merry Christmas' di atas sebiji kek yang dipesan untuk dihantar kepada rakannya.

Ini kerana kedai berkenaan dalam proses untuk mendapatkan sijil halal daripada JAKIM. - BERNAMA

TAG: jakim, halal, krismas, ucapan

Berita Harian X