Jumaat, 25 Disember 2020 | 11:19am

Aliran trafik terus meningkat

KUALA LUMPUR: Aliran trafik keluar dari ibu negara ke arah utara, selatan dan timur Semenanjung terus meningkat, namun lalu lintas lancar dan terkawal.

Ia berikutan orang ramai mengambil peluang pulang ke kampung bermula semalam berikutan cuti panjang sempena Krismas hari ini yang akan disusuli cuti umum tahun baharu, minggu depan.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi Twitter @LLMinfotrafik, memaklumkan setakat jam 10.15 pagi tadi, trafik perlahan ke arah utara.

Ia membabitkan laluan Rawang Selatan ke Sungai Buaya, Bukit Beruntung ke Lembah Beringin yang turut disebabkan kemalangan di Kilometer (Km) 416.7 arah utara dan Slim River ke Sungkai.

"Setakat 9.30 pagi, trafik arah timur juga perlahan sebelum masuk Terowong Genting Sempah. Trafik mulai perlahan sebelum masuk Plaza Tol Gombak arah timur pada jam 9.11 pagi ini," katanya.

LLM turut menasihatkan pengguna mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan ketika menggunakan kemudahan kawasan rehat dan rawat (R&R) serta hentian sebelah.

Tinjauan aliran trafik Lebuhraya PLUS pada jam 10 pagi tadi di KM414 berhampiran susur keluar Tol Rawang. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
Tinjauan aliran trafik Lebuhraya PLUS pada jam 10 pagi tadi di KM414 berhampiran susur keluar Tol Rawang. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Aliran trafik di lebuhraya bergerak lancar berikutan cuti Hari Krismas.- Foto/ NSTP
Aliran trafik di lebuhraya bergerak lancar berikutan cuti Hari Krismas.- Foto/ NSTP

Sementara itu, PLUS Malaysia Bhd (PLUS) menerusi akaun Twitter @plustrafik, memaklumkan trafik perlahan dari Sungai Buloh menuju Rawang.

Katanya, keadaan itu turut membabitkan laluan Bukit Beruntung ke Bukit Tagar, Slim ke Sungkai dan kawasan mendaki Gua Tempurung ke Gopeng.

"Kawasan lain masih lagi terkawal setakat jam 10.11 pagi ini. Pada jam 9.47 pagi, berlaku kemalangan di Km 416.7 arah utara dari Bukit Tagar ke Lembah Beringin, tetapi tiada lorong terhalang dan trafik perlahan.

"Treler pula dilaporkan rosak di Km 265.3 arah utara dari Ipoh ke terowong pada jam 8.39 pagi, namun trafik masih terkawal. Setakat jam 8.36 pagi, aliran trafik masih terkawal dari Kuala Lumpur menuju selatan," katanya.

PLUS juga memaklumkan, R&R dan hentian sebelah sepanjang lebuh raya PLUS di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) beroperasi bermula jam 6 pagi hingga 12 tengah malam, manakala selain kawalan PKPB dari 6 pagi hingga 2 pagi.

Trafik perlahan arah Utara dari Rawang Selatan ke ke Lembah Beringin serta dari Slim River ke Sungkai. - Foto ihsan Twitter LLM
Trafik perlahan arah Utara dari Rawang Selatan ke ke Lembah Beringin serta dari Slim River ke Sungkai. - Foto ihsan Twitter LLM
Berita Harian X